#kisahseram Sesat Di Hutan Puaka (Bahagian 3: Akhir)
(Sedutan bahagian 2)
4 orang sahabat ini saling berpelukan rapat di sudut dinding sambil terketar-ketar ketakutan. Mereka hanya mampu dan berserah kepada takdir dan ketentuan. Jin-jin ganas itu sudah semakin hampir dengan mereka. Adakah keempat-empat mereka akan dibawa naik ke atas?Atau adakah mereka kesemua akan dijadikan habuan dan jamuan di dalam lubang itu juga? Berdasarkan penemuan tulang-tulang dan sisa-sisa tengkorak yang terdapat di dalam itu boleh jadi juga mereka semua akan di makan di dalam lubang tersebut.
Masa sudah suntuk, nyawa Malik, Tarmizi, Ijul dan Akim sudah tidak terjamin lagi sama ada selamat ataupun tidak. Jadi bagaimana nasib mereka ketika itu?
...............................................
Saat itu apa yang dapat mereka lihat ialah tubuh besar Jin-jin tersebut yang semakin menghampiri mereka. Tiada masa lagi untuk berbuat apa-apa di dalam keadaan yang serba genting sebegitu. "Dummm..!!!" Tapak-tapak kaki besar itu menghentak ke lantai, ada 4 jin kesemuanya. Memang cukup-cukup seorang satu mangsa. Muka mereka pada waktu itu kelihatan sangat bengis, Tarmizi, Ijul, Akim dan Malik semakin mengigil ketakutan. Bunyi dengusan makhluk-makhluk itu semakin kuat. Seperti seakan tidak sabar untuk membaham habuan-habuan di hadapan mereka. Dengan wajah yang menakutkan perlahan-lahan jin-jin tersebut berjalan mendekati 4 sekawan itu. Mereka pasrah. Lalu tangan-tangan yang besar itu dengan mudah menarik dan mengangkat tubuh-tubuh kecil tersebut.
"Tolongggg..!! Tolongg...!!!!"
"Jangan makan akuuuu!!!"
“Tolonggggg…!!!!!”
"Hoi Akim! Apa hal kau ni?" Tarmizi dan Ijul hairan melihat Akim yang sedang baring sambil terkapai-kapai.
"Eh, Ya Allahh.. Aku mimpi ke tadi tu. Allah.. Fuh, selamat. Nasib baik tak kena makan dengan jin-jin tu!" Akim menarik nafas panjang. Rupa-rupanya sewaktu sedang berbaring di atas batu tersebut, Akim telah terlelap dan mendapat mimpi ngeri. Akim melihat jam tangannya, baru menunjukkan pukul 3.15 petang. Akim dengan terujanya menceritakan semula kepada Tarmizi dan Ijul apa yang dimimpikannya sebentar tadi. Dia menceritakan daripada awal sehingga akhir. Mimpi itu mungkin itu satu petanda untuk mereka.
"Jadi kau cakap, dalam mimpi kau tu kita semua dah terjumpa Malik di dalam satu lubang?" Tarmizi inginkan kepastian.
"Boleh jadi mimpi itu memberi petanda kepada kita untuk mencari Malik!" Ijul menambah.
"Ya, betul. Dalam mimpi tu kita semua ke arah hutan sebelah sana." Akim yakin dia masih ingat arah ke mana dia lalui dalam mimpi tersebut. Mereka pun berkemas dan berangkat ke arah yang ditunjukkan Akim. Laluannya memang sama, Akim mendahului mereka. Di sebabkan Akim sahaja yang bermimpi jadi dia lebih tahu ke mana arah dan selok belok yang harus dituju.
"Tapi kan.. dalam mimpi kau tu kita semua kena tangkap dengan jin kan." Ijul bersuara. Tarmizi dan Akim terdiam. Akim menasihati mereka supaya jangan menerima bulat-bulat sangat mimpi itu, mungkin ini sebagai petunjuk di mana Malik berada, jadi harus ketepikan semua halangan-halangan tersebut, ujar Akim menenangkan mereka berdua.
Setelah beberapa minit berjalan, mereka akhirnya sampai ke kawasan tempat di mana Malik itu seharusnya berada. Keadaan kawasan itu memang hampir sama dengan apa yang Akim mimpikan sebentar tadi. Pokok-pokoknya dan laluannya semuanya hampir sama. Akim berjalan ke hadapan sedikit diikuti Tarmizi dan Ijul di belakang.
"Hah, itu dia! Nampak tak bentuk yang macam perigi tu? Jom cepat, mungkin Malik ada dekat dalam tu!" Akim terus berlari ke hadapan.
Penutup lubang itu dibuka oleh mereka bertiga. Sangat berat, namun dengan bantuan tiga orang penutup logam yang berat itu berjaya di buka. Mereka menjenguk-jenguk ke dalam lubang yang gelap gelita itu. Mereka memanggil nama Malik berkali-kali. Bergema. Dengan harapan jika benar Malik betul berada di dalam lubang itu dia akan menyahutnya.
"MALIKK!! MALIKK!!" malangnya tiada sahutan. Senyap sunyi.
"Cubalah suluh ke bawah, kalau gelap macam ni mana kita nak nampak apa." Ijul resah.
"Ye tak ye jugak." Akim membuka dan mencapai lampu suluh daripada begnya. Dia lalu menyuluh ke bawah, maka ternampaklah sekujur tubuh yang mereka memang amat kenal sangat. Malik. Sudah lemah dan tersandar di dasar lubang tersebut. Matanya kecil memandang ke atas di sebabkan silau dek cahaya daripada lampu suluh Akim. Tarmizi terus mengambil tali daripada begnya, dalam keadaan sebegini peralatan-peralatan sebegini memang amat penting.
"Malik, kami campak tali ini ke bawah. Kau sambut dan pegang kuat-kuat. Kami akan tarik kau ke atas!" Tarmizi, Ijul, dan Akim sudah bersedia memegang tali untuk membawa Malik ke atas. Hujung tali dicampak ke bawah.
"Malik! Pegang kuat-kuat." Tali sudah digenggam oleh Malik di bawah.
"Ok, satu.. dua.. tigaaa!!" Sedaya upaya dan bersungguh-sungguh mereka menarik tali tersebut. Sedikit demi sedikit Malik tertarik ke atas sehingga ke tebing lubang perigi itu. Berat sama dijinjing, ringan sama dipikul. Akhirnya Malik di sambut ke atas oleh rakan-rakannya itu. Keadaan Malik pada waktu itu lemah dan compang-camping. Tarmizi terus mengambil botol air daripada beg Malik dan memberinya minum. Malik menarik nafas panjang. Lega hati rakan-rakan yang lain melihat Malik kelihatan segar semula.
"Terima Kasih. Maaf sebab susahkan kamu semua. Aku sebenarnya dah tersesat jalan, waktu tu aku dah ketinggalan jauh ke belakang sampai aku dah tak nampak korang lagi. Lepas tu aku berselisih dengan seorang budak kecil ni. Nampak macam orang asal sini, jadi aku tanyalah arah jalan yang betul. Dia tunjuk dan temankan aku lalu jalan ke kiri, sampai-sampai je aku dekat sini aku pandanglah ke belakang sebab nak ucap terima kasih dekat dia. Tapi apa yang aku nampak di belakang aku bukanlah budak tadi tapi satu makhluk kecil berwarna hitam bermata merah. Aku terkejut dan takut, aku larikan diri sampai tersadung dengan tebing perigi ni. Lalu aku terjatuh ke bawah." Malik menjelaskan panjang lebar.
"Belau." Tarmizi mengangguk.
"Belau tu apa? Eh tapi macam mana korang semua tahu aku dekat dalam lubang ni?" Soal Malik.
"Itu nanti aku ceritakan dalam perjalanan. Sekarang ni kita kena cari jalan keluar daripada hutan puaka ini sebelum hari gelap. jom!" Jawab Akim. Dia tidak mahu menyerabutkan lagi fikiran Malik ketika itu dengan bercerita hal mimpinya.
........................................
Hari sudah mulai gelap, 4 sekawan ini masih berusaha mencari-cari sinar cahaya jalan untuk membawa mereka keluar dari situ. Sepanjang perjalanan mereka sentiasa diganggu oleh bunyi-bunyian yang menyeramkan. Bunyi orang berjalan atas pokok, bunyi perempuan sedang ketawa dan bunyi-bunyian seperti muzik tradisional masyarakat orang asli. Sayup-sayup sahaja kedengaran. Dalam keadaan hutan yang gelap itu apa-apa bunyi pun pasti kedengaran seram, hatta bunyi perut mereka yang sedang kelaparan. Namun begitu mereka berempat tetap meneruskan perjalanan dengan bantuan lampu suluh dan cahaya bulan mengambang. Mereka berhati-hati ketika menyuluh jalan, takut tersuluh benda-benda yang tidak sepatutnya di hadapan mereka.
Ketika sedang asyik berjalan, Tarmizi perasan ada sesuatu yang tidak kena pada mereka. Pada masa itu posisi kedudukan mereka adalah, Malik di hadapan, diikuti Akim, Tarmizi dan dibelakang sekali ialah Ijul.
"Aku rasa kita kena ubah lah kedudukan kita. Korang perasan tak pangkal huruf nama kita dengan posisi kedudukan kita sekarang ni?" Tarmizi menyuruh kawan-kawannya berfikir.
"Malik, Akim, Tarmizi, Ijul.."
"M.A.T.I."
Berderau darah mereka semua apabila terperasan akan hal yang remeh namun nampak agak mustahak pada waktu itu. Cepat-cepat mereka mengubah posisi kedudukan, mungkin itu antara penyebab mereka sentiasa bernasib malang dan selalu diganggu oleh makhluk-makhluk yang berada di situ. Walaupun hal itu nampak kecil tetapi daripada segi psikologinya memang nampak berkait. Lagi-lagi dalam keadaan mereka ketika itu.
Perjalanan di teruskan, masing-masing berwaspada melangkah laluan hutan itu. Mereka adakalanya seperti mahu berputus asa kerana laluan yang mereka lalui itu semuanya nampak hampir sama. Pokok-pokok besar bagai menutupi mereka daripada sinar cahaya rembulan. Rasa dingin sudah menggigit-gigit tulang temulang mereka. Sesekali angin yang tidak tahu datang dari mana meniup wajah mereka, pada masa yang sama terbau juga bau haruman yang semerbak wangi. Tarmizi menasihati mereka supaya berjaga-jaga kerana itu mungkin petanda kehadiran langsuir. Mulut mereka tidak henti-henti membaca surah 3 Kul.
Ijul terjenguk-jenguk apabila dia seperti tersuluh sesuatu yang bersinar-sinar di hadapannya. Di kawasan yang beralun-alun itu jelas ternampak refleksi cahaya bulan. TASIK! Rakan-rakannya yang lain turut sama menjenguk kehadapan. Tidak jauh daripada mereka kelihatan tasik luas terbentang indah. Kabus-kabus malam menyelubungi ruang di atas tasik itu.
"Ok, rakan-rakan semua. Ingat lagi kan apa yang aku beritahu kamu pasal tasik ini siang tadi? Walau apa pun yang kita semua jumpa nanti kita harus teruskan perjalanan kita melepasi tasik ini. Mungkin jalan keluar ada di hadapan sana. Ingat, kuatkan semangat!" Tarmizi memberitahu rakan-rakannya.
Mereka pun meneruskan perjalanan walaupun masing-masing sudah terketar-ketar ketakutan. Mereka semua sudah berasa tidak sedap hati. Sedang mereka berjalan menuju ke tasik itu, tiba-tiba kelihatan ada satu tubuh berpakaian serba hitam sedang menanti di hadapan mereka. Rambutnya panjang menutupi sebahagian wajahnya. Lembaga tersebut berdiri tercegat sambil tangan kanannya memegang batang pokok. Dia seperti melarang mereka semua daripada melalui laluan itu. Ya, itu ialah roh perempuan yang Tarmizi ceritakan pada mereka siang tadi. Perempuan itu sedang berdiri di bawah sebatang pokok sambil matanya memandang tepat ke arah mereka berempat.
“Tarr.. Tarmizi.. macam mana ni..” Malik yang berada di hadapan sekali sudah ketakutan, kakinya menggigil. Perempuan berambut panjang berjubah hitam yang berdiri lebih kurang 10 meter di hadapannya sudah mula menjegilkan matanya. Rambut hitam yang ikal panjang itu sesekali beralun ditiup angin malam yang dingin. Lembaga perempuan itu hanya berdiri tegak di hadapan mereka.
“Cepat, kutip batu-batu kecil di bawah ni dan ketuk antara duanya! Cara ini dapat memperdayakannya!” Tarmizi mengarahkan rakan-rakannya. Mereka baru teringat pesan Tarmizi pada siang tadi jika terjumpa dengan lembaga perempuan ini. Mengetuk dua batu kecil merupakan antara budaya tradisi masyarakat asli perempuan ini. Jadi hal ini mungkin dapat menghelahkan dia. Dalam keadaan cemas dan kelam-kabut mereka berempat mengutip batu-batu kecil yang ada di tanah lalu mengetuk antara keduanya. “Tap..tap..tap..”
“Tarmizi, macam mana ni. Tak lari pun hantu tu!” Ijul menoleh ke arah Tarmizi yang berada di sebelahnya.
“Jangan berhenti. Teruskan ketuk batu tu. Dan kita kena berjalan melepasi dia untuk terus ke laluan seterusnya. Kita tak boleh patah balik!” Ijul, Akim, dan Malik tergamam mendengar kata-kata daripada mulut Tarmizi. Apa benar mereka semua harus berjalan ke arah lembaga perempuan berambut panjang itu.
“Cepat!” Tarmizi sudah berjalan mendahului mereka. Mereka yang lain mengekori Tarmizi dari belakang. Keempat-empat mereka berjalan perlahan-lahan sambil mengetuk-ngetuk dua batu kecil di kiri dan kanan tangan mereka. Semakin lama mereka semakin mendekati perempuan berambut panjang itu. Wajahnya amat menakutkan. Putih dan pucat lesi! Matanya tajam memerhati 4 sekawan ini dengan wajah yang marah. Tapi disebabkan mereka semua sedang mengetuk-ngetuk batu maka dibiarkan sahaja mereka berjalan tanpa menganggu. Mungkin perempuan berambut panjang berjubah hitam ini sudah terpedaya. Awal-awal lagi Tarmizi telah memesan kepada Ijul, Malik, dan Akim supaya jangan berhenti mengetuk dan jangan juga bertentang mata dengan roh perempuan yang menakutkan ini.
Tarmizi sudah berjalan melepasi perempuan itu, diikuti Akim dan juga Malik. Ijul agak terketar-ketar pada waktu itu, dia berasa amat takut sekali. Sewaktu sedang berjalan bersebelahan dengan perempuan puaka tersebut, batu kecil yang dipegangnya tiba-tiba terlepas jatuh ke bawah. Hal ini kerana tangan Ijul yang menggigil-gigil sewaktu sedang mengetuk batu tersebut. Irama ketukan batu nampaknya telah berhenti di situ.
Perempuan itu menoleh ke arah Ijul dengan mata yang tajam. Dia sudah perasan Ijul yang pada waktu itu sedang terduduk ketakutan. Perlahan-lahan perempuan itu terapung dan memusingkan badannya ke arah Ijul. Dalam keadaan yang serba genting, Ijul meraba-raba tanah untuk mencari batu yang terjatuh tadi tapi tidak jumpa. Perempuan itu kini terbang dan terapung betul-betul di hadapannya. Rambut panjangnya beralun-alun mengikuti gerak geri tubuhnya. Perempuan itu mengeluarkan suara halusnya lalu menghilai nyaring.
“Ijulll..! Cepat larii!” Tarmizi, Malik dan Akim menjerit kepada Ijul yang sedang terduduk dan terpegun ketakutan. Sambil membaca ayat-ayat suci, Ijul menguatkan semangat lalu belari ke arah rakan-rakannya yang lain. Makhluk mengerikan itu turut menghilai sambil mengejar mereka berempat.
Habis semak-samun dan pokok-pokok kecil mereka langgar demi melarikan diri daripada syaitan puaka itu. Tidak ada apa yang boleh mereka fikirkan ketika itu selain daripada berlari dan berlari. Angin bertiup agak kencang pada waktu itu, sayup-sayup kedengaran bunyi salakan anjing bersahut-sahutan. Mereka terus berlari sehinggalah mereka terjumpa sebuah rumah kayu.
“Jom menyorok dalam ni!” Akim memberi cadangan sambil diikuti rakan lain.
“Kreekkk..” Pintu kayu yang hampir roboh itu di buka. Rumah itu dalam keadaan bersawang sekali. Lantai kayunya hampir reput, bumbungnya ada yang berlubang manakala tingkapnya sudah pecah.
“Malam ni kita berteduh di sini dulu. Keadaan di luar memang sangat berbahaya.” Kata Akim apabila melihat rumah kosong itu agak selamat dan sesuai dijadikan tempat untuk berteduh. Mereka berempat sudah kepenatan. Setelah memeriksa lebih kurang, keempat-empat mereka berbaring dan berehat di situ. Tarmizi dan Akim baring di lantai, manakala Ijul dan Malik memilih untuk baring di atas kotak kayu besar di tepi pintu. Kesemua mereka tertidur akibat kepenatan yang amat sangat. Tarmizi kejap-kejap terjaga untuk memastikan keadaan semua terkawal. Tiada lagi bunyi perempuan menghilai, tiada lagi bunyi anjing menyalak. Semuanya tenang. Tarmizi kembali lelap.
……………………………………………
Hari mulai terang. Cahaya mentari pagi menyinari masuk melalui celah-celah tingkap yang pecah. Mereka semua terjaga kerana terkejut hari sudah siang. Masuk ini sudah 48jam mereka di dalam hutan itu. Ijul terduduk diatas kotak kayu sambil termenung memikirkan hal yang menakutkan malam tadi. Tak pernah seumur hidupnya dikejar oleh hantu sebegitu. Akim dan Tarmizi melihat dan memeriksa kawasan luar dari tingkap. Tiada apa-apa yang berbahaya lagi di luar.
“Aku haus.” Malik tiba-tiba bersuara. Kesemua yang lain memandang Malik dengan pandangan yang kosong. Bukan dia seorang sahaja yang haus pada ketika itu.
“Ini kan rumah, tentu ada lagi saki baki makanan atau minuman yang tinggal.” Malik berjalan longlai ke bahagian dapur. Usahkan makanan, rak-raknya juga sudah reput dan lapuk dimakan anai-anai.
“Rumah ni dah berapa lama kena tinggal, Malik. Mana ada lagi dah makanan-makanan semua tu. Tengok air paip pun dah tak keluar” Kata Akim sambil memusingkan pili paip besi di dapur.
“Mungkin dalam kotak ni ada makanan. Mungkin mereka simpan dalam ni untuk saat-saat kecemasan.” Kata Malik sambil menuju ke arah kotak kayu besar yang dia dan Ijul buat berbaring tidur malam tadi. Akim, Ijul, dan Tarmizi hanya memerhati ragam Malik. Kotak kayu besar itu di buka Malik.
“Aaarrgggghhhhh!!!!!” Malik melompat ke belakang! Akim, Ijul, dan Tarmizi terkejut.
“Mmm.. mmayatt.. ada mayattt dalam tu!” Malik hampir menangis. Mereka semua meluru ke arah Malik. Sempat juga mata Akim, Ijul, dan Tarmizi menjeling ke dalam kotak besar itu. Ternampak lah mereka akan sekujur tubuh yang sudah berbalut kain putih di dalam kotak itu. Wajahnya sudah mereput dan berlubang-lubang dimakan ulat. Matanya sudah tertanggal keluar. Sebelah mata lagi sudah hilang entah ke mana.
“Dah, dah, jom kita keluar dari rumah ni dan keluar juga dari hutan puaka ni!!” Tarmizi bersemangat dalam marah. Dengan berbekalkan semangat dan kekuatan yang ada, mereka semua meneruskan perjalanan mencari jalan keluar. Akim pada waktu itu memapah Malik yang kelihatan lemah dan terkejut kesan daripada ternampak mayat di dalam kotak kayu tadi. Ijul dan Tarmizi melilau-lilau mencari-cari arah laluan yang betul. Tidak tahu mahu ke arah kiri, kanan, tengah atau belakang. Mereka hanya berjalan terus sahaja tanpa memikirkan apa yang bakal berada di hadapan. Sekurang-kurangnya mereka bergerak, jika duduk diam sahaja mungkin peluang untuk keluar daripada situ tipis.
Namun ada satu yang membimbangkan mereka, iaitu nyawa mereka. Masing-masing sudah kelihatan amat lemah, tubuh mereka sudah kelihatan cengkung walaupun baru dua hari tidak makan dan minum. Mereka tetap meneruskan perjalanan demi keluar daripada hutan puaka itu. Rasanya baru separuh pelusuk hutan itu yang mereka baru tempuhi. Sewaktu dalam perjalanan, berlaku kejadian aneh. Malik yang sudah kelihatan amat lemah pada ketika itu mendakwa telah ternampak kelibat 4 orang seperti diri mereka sendiri. Kedudukan '4 orang' itu tidak berapa jauh daripada mereka. Malik cuba memanggil 'mereka' namun '4 orang' tu lama-kelamaan hilang daripada pandangannya.Tarmizi memberitahu Malik bahawa itu hanya ilusinasinya sahaja.
"Eh, lihat ni. Pokok-pokok di sini amat lain sekali seperti pokok-pokok yang sebelum ni kita lihat. Mungkin kita dah hampir ke jalan keluar!" Ijul memberitahu mereka semua. Tarmizi mengarahkan mereka semua melalui laluan itu, mungkin benar juga kata Ijul. Mereka pun meneruskan perjalanan mereka, sinar harapan hampir nampak di situ. Tidak berapa lama selepas itu Tarmizi, Ijul, Akim, dan Malik terdengar bunyi lori lalu-lalang. Dan akhirnya dengan berkat tidak putus asa, mereka jumpa juga jalan keluar daripada hutan itu. Bayangkan betapa seronoknya mereka pada waktu itu apabila ternampak sebatang jalan raya di penghujung hutan. Terdapat sebuah lori yang berhenti dan menolong mereka semua.
"Lepas tu pakcik? mereka semua selamat tak?" Seorang budak perempuan bernama Eila bertanya kepada 4 orang pak cik di hadapannya itu.
"Hehe. Sebenarnya kami lah Tarmizi, Malik, Ijul dan Akim dalam cerita tu. Dah dekat 30 tahun kejadian tu berlaku. Nampak, kami semua sihat lagi kan?" Kata Pakcik Tarmizi yang cuba menjelaskan siapa mereka sebenarnya kepada anak kecil itu. Pakcik Malik, Pakcik Akim, dan Pakcik Ijul semuanya tertawa melihat budak perempuan itu yang sedang keliru dan terpinga-pinga.
"Ohh.. baru saya faham. Pakcik berempat ni lah rupanya orang-orang dalam cerita tu ya. hehehe.." Budak perempuan itu tertawa kecil. Tarmizi, Malik, Akim, dan Ijul hanya tersenyum.
"hmm, pakcik-pakcik semua, rasanya dah lewat ni. Saya kena balik rumah, nanti mama bising pula. Nanti ada masa saya datang sini lagi ya. Saya nak dengar cerita lagi daripada pakcik. Seronok!" Budak perempuan itu senyum lalu meminta diri kepada pakcik-pakcik tersebut. Dia pun mengayuh basikal kecilnya untuk pulang ke rumah. Sewaktu menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan, pakcik-pakcik itu sudah berlalu pergi.
.........................................
"Mama, Papa. Petang tadi masa Eila main basikal dekat taman sebelah tasik tu, ada empat orang pakcik ni datang dekat Eila. Dorang bercerita pada Eila. Best tau cerita dorang tu mama, papa." Anak kecil itu tersenyum riang ketika memberitahu hal petang tadi kepada mama dan papanya.
"Oh ye ke, pakcik-pakcik tu cerita apa sayang?"
"Cerita pasal mereka sesat dekat hutan. Best tau, dari awal sampai akhir dorang cerita." kata anak kecil itu kepada mamanya.
"Sesat dekat hutan?" tanya papanya pula.
"Iya papa, mereka cakap yang tersesat dalam hutan itu mereka sendirilah. Nama dorang Tarmizi, Malik, Ijul dan Akim." Kata anak kecil itu.
"Astaghfirullah..!!" Papa memandang Mama, Mama memandang Papa.
"Bukankah keempat-empat mereka itu pihak polis sudah temui mayatnya di dalam hutan 30 tahun dahulu!?"
Anak kecil itu hanya terkebil-kebil memandang mama dan papanya.
(Terima kasih kepada pembaca-pembaca semua kerana mengikuti kisah seram 'Sesat di Hutan Puaka' ini daripada bahagian 1 hingga bahagian 3. Segala yang tercatat di dalam cerita ini hanyalah rekaan, jika terdapat fakta-fakta yang tidak tepat dan kurang memuaskan hati, ampun dan maaf kami minta kerana ini hanyalah sebuah kisah fiksyen. Assalamualaikum, selamat berhujung minggu dan selamat malam. Semoga kamu semua dilindungi oleh rahmat-Nya)
#kisahseram #seram #antiplagiarism #penselstudio
penselstudio2016©allrightsreserved
Best2 teruskan usaha
ReplyDelete