adss 2

Monday, 11 April 2016

Perempuan Tua Di Tepi Tingkap

#kisahseram Kompilasi Kisah Seram Pendek

1. PEREMPUAN TUA DI TEPI TINGKAP

Ain baru dua hari menyewa di rumah flat berdekatan dengan kolejnya. Dia menyewa bersama 4 orang lagi rakan. Rumah yang Ain sewa berada di tingkat 5. Menghadap hadapan biliknya adalah sebuah lagi bangunan flat dengan jarak yang tidak berapa jauh. Ain mempunyai tabiat tersendiri. Setiap malam lebih kurang dalam pukul 12 ke atas Ain akan belajar berseorangan di dalam biliknya. Bagi Ain waktu-waktu sebegitu adalah sesuai baginya untuk mengulang kaji pelajaran. Suasananya lebih aman dan sunyi tanpa gangguan. Kawan-kawan serumahnya pula memilih untuk tidur ketika Ain mengulangkaji pelajaran.

Pada suatu malam, Ain seperti biasa akan belajar di dalam biliknya seorang diri. Dia selalunya  akan memperuntukkan waktu selama 4 jam untuk mengulangkaji pelajaran. Ain menyelak satu persatu nota-nota rujukan subjek Marketing Communication di atas mejanya. Sambil membaca nota dia memasang perlahan seleksi lagu-lagu kegemarannya di komputer riba. Namun mata Ain telah menunjukkan isyarat mengantuk, walhal baru satu jam dia duduk belajar. Demi menghilangkan rasa mengantuk yang hebat, Ain bangun meninggalkan meja lalu menuju ke dapur.

Nescafe 3 in 1 di bancuh suam. Sewaktu berada di sinki untuk membasuh sudu, Ain terpandang sesuatu dari tingkap dapurnya. Ain cuba mengamati betul-betul untuk memastikan apa yang matanya lihat. Rasanya apa yang dia lihat ialah seperti seorang perempuan tua. Perempuan itu sedang duduk di atas kerusi di tepi tingkap. Dia memakai baju berwarna merah tua bersama kain batik. Lagaknya seperti sedang termenung memandang ke luar dari cermin tingkap. Ain buat tak tahu. Mungkin dia cuma mahu mengambil angin dan menenangkan diri. Ain kembali ke meja belajar sambil membawa air Nescafe nya sekali. Dia menyambung mengulangkaji pelajaran.

Jam sudah melepasi angka 3 pagi. Ain menghabiskan topik akhir sebelum mengemas buku-bukunya. Cawan yang berisi Nescafe tadi diangkat menuju ke dapur. Suasana di kawasan flat tersebut sudah semakin sunyi. Jika ada pun bunyi anjing-anjing liar di tempat pembuangan sampah di lorong belakang. Ain meletakkan cawan di sinki untuk dibasuh. Tetapi ada sesuatu yang membuatkan Ain membasuh dalam keadaan tangan terketar-ketar. Ain terpandang ke luar dapur. Perempuan tua yang Ain lihat 2 jam sebelum tadi masih sedang duduk termenung di tepi tingkap. Kini matanya seperti memandang ke arah Ain. Kelam kabut Ain meletakkan cawan dan terus masuk ke bilik tidur.

Esoknya kejadian yang sama turut terjadi lagi sewaktu Ain hendak membasuh baju. Dari celah-celah tingkap yang di buka separuh, Ain terpandang akan perempuan tua yang sama di blok bangunan hadapan. Aneh. Perempuan tua tersebut masih duduk di tepi tingkap dengan memakai baju yang sama seperti malam tadi. Posisinya juga tidak berubah. Dia termenung memandang ke luar tingkap. Ain jadi gelisah. Dalam masa yang sama Ain takut. Fikirnya mungkin perempuan tua ini mempunyai masalah gangguan mental.
Malam itu tidur Ain terganggu apabila terdengar bunyi riuh di tingkat bawah. Lampu berwarna merah dan biru memantul di sana-sini. Ain dan kawan-kawan serumahnya menjenguk ke bawah. Kelihatan 2 kereta peronda dan sebiji van ambulan di letakkan berdekatan. Ain seperti sudah dapat mengagak. Dia cepat-cepat menyarung sweaternya lalu turun ke bawah. Sampai sahaja di bawah, kelihatan perempuan tua yang dilihatnya dua malam semalam sedang diusung ke dalam van ambulan. Polis menyimpulkan kes itu adalah kes bunuh. Perempuan tua tersebut telah diberi minum racun oleh perompak. Mayatnya kemudian didudukkan di atas kerusi di tepi tingkap yang terbuka bagi mengelakkan bau busuk merebak ke rumah jiran. Perempuan tua yang Ain anggap masih hidup rupanya telah lama mati.

2. TOLONG JAGA MAYAT NI

Kejadian berlaku pada suatu hari apabila sekumpulan rakan yang sedang bercamping di dalam hutan terjumpa dua mayat di tebing sungai. Disyaki mati lemas dan kelihatan seperti sudah terbiar lebih kurang dalam 3 hari. Tubuhnya sudah membiru manakala wajahnya berkedut kerana sudah terendam begitu lama di dalam air. 4 orang rakan ini menarik mayat-mayat yang dijumpai tersebut ke atas bagi memudahkan pihak tertentu untuk menuntut.

Mereka membuat keputusan untuk menelefon pihak polis berhubung mayat yang mereka jumpai ini. Oleh kerana mereka semua sudah jauh di ceruk hutan, maka amat payahlah untuk mereka mendapat liputan hubungan telefon. Salah seorang daripada mereka mencadangkan sesuatu yang agak sulit untuk dilakukan oleh mereka. Iaitu dengan mengangkat dua mayat lemas ini keluar dari hutan. Cadangan itu ditolak, kerana jarak yang jauh akan menimbulkan masalah pula kepada mereka nanti.

Setelah berbincang, kata putus telah diambil. Dua orang pergi keluar mendapatkan pertolongan, manakala dua orang lagi tunggu di dalam hutan dan menjaga mayat-mayat tersebut. Hanya itu sahaja caranya yang mereka nampak. Masing-masing kelihatan agak gelisah duduk di dalam hutan yang dalam sambil ditemani mayat-mayat yang semakin membusuk. Dua mayat ini diletakkan di sebuah pondok kayu sementara menunggu dua orang rakan mereka datang dengan bantuan.

Dua orang sahabat yang ditugaskan menjaga mayat bercadang untuk tunggu dan duduk sahaja di dalam khemah. Khemah mereka dengan pondok tersebut hanya terletak kira-kira 10 meter sahaja. Hari semakin gelap, awan mendung pula menurunkan hujan renyai. Bagi mengelakkan air masuk, mereka berdua menutup zip khemah dengan rapi. Kedua-duanya sudah gelisah. Masing-masing menanti dua orang lagi rakan mereka dengan penuh debaran.

Tidak semena-mena ketika dalam fasa tenang, khemah mereka bergoncang. Seperti ada sesuatu yang menolak. Dua orang sahabat ini makin tidak keruan, lagi-lagi apabila terdengar suara dari luar menyebut, "Tolong aku.. Sejuk.. tolongg..". Halus dan mendayu-dayu suaranya. Masing-masing sudah menggigil dan berpelukan ketakutan. Tidak dapat digambarkan betapa takutnya mereka, suara halus dari luar masih kedengaran lagi. Gayanya seperti meminta tolong. Mungkinkah mayat lemas tersebut yang berada di luar khemah?

Tiba-tiba zip khemah dibuka perlahan dari luar. Saat itu amat mendebarkan bagi dua orang rakan ini. Terjerit-jerit mereka meminta tolong walaupun mereka berdua tahu tiada siapa yang akan mendengarnya. Zip sudah dibuka separuh, kelihatan dua lembaga hitam berada betul-betul di hadapan mereka. Masing-masing menepuk dahi apabila lembaga hitam tersebut rupa-rupanya adalah dua orang kawan mereka yang keluar meminta bantuan petang tadi. Bila ditanya di manakah bantuan yang mereka bawa, jawab mereka sebentar nanti akan tiba. Kedua-duanya basah kuyup akibat terkena hujan. Mereka berempat pun duduk berbual dan berehat di dalam khemah  sementara menunggu bantuan yang mereka panggil tadi tiba. sehinggalah keempat-empat mereka tertidur.

Salah seorang daripada mereka terjaga apabila terbau suatu bau yang amat menyengat. Bau busuk seperti bau lumpur. Dan apa yang membuatkan mereka tertanya-tanya adalah, di mana dua orang rakan mereka yang datang dengan basah kuyup malam tadi. Rasanya mereka tidur bersama-sama. Segala persoalan terjawab siang itu apabila mereka berdua menemui  mayat dua orang lagi rakan mereka ini di tebing sungai. Sangat aneh kerana mayat dua orang rakan mereka ini dijumpai di lokasi yang sama seperti dua mayat yang mereka temui hari semalam. Jadi siapa yang datang ke khemah mereka malam tadi? Jumlah mayat sekarang sudah ada empat. Juga diletakkan di pondok bersama dua lagi mayat yang mereka jumpai semalam. Maka tinggalah mereka berdua di dalam hutan.

"Kau tunggu sini jaga 4 mayat ni. Aku pergi keluar kejap minta bantuan" Kata si A kepada si B.

Si B terpinga-pinga mendengar kata-kata si A. Dia seperti sudah dapat mengagak cerita. Mungkinkah dia akan menjumpai mayat si A di lokasi yang sama juga seperti 4 mayat sebelum ini dijumpai?

3. JANGAN BALIK KAMPUNG

Seorang suami kepada 2 orang anak yang masih kecil ditugaskan untuk bekerja di luar kota untuk tempoh masa yang lama. Jadi kehidupan hariannya banyak diganggu oleh bayangan-bayangan keluarga, serta anak isteri di kampung. Dia sungguh rindu akan keluarganya. Seringkali dia tersenyum sendirian apabila mengenangkan dua orang anaknya yang masih kecil. Hatinya pula sudah terlalu rindu pada isterinya. Tugasnya di luar kota hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Pada suatu malam, lelaki ini dihubungi Ketua Pengarah di tempat kerjanya. Rupa-rupanya Ketua Pengarahnya ini menghubunginya untuk menyampaikan berita gembira. Suami kepada dua orang anak ini dibenarkan pulang awal atas kerana semua tugasnya telah selesai. Maka melompat kegembiraan lah si lelaki ini. Esoknya, lelaki ini telah keluar awal untuk membeli tiket kereta api, lagipun jika dia keluar lewat, tiket akan habis. Hal ini akan menimbulkan masalah lagi nanti. Dirinya sudah terlalu seronok dan teruja untuk pulang. Hati dan kepalanya sudah berada di kampung halaman.

Perjalanan yang memakan masa selama 6 jam itu bagai tidak terasa. Dia seperti tidak percaya akan dapat menjejakkan kaki lagi di kampung halamannya yang sungguh indah dan damai. Namun, dia berasa aneh kerana hanya dioa seorang sahaja yang turun di stesen keretapi tadi. Malas hendak difikirkan lanjut, si lelaki ini pun terus berjalan menuju ke rumahnya. Isteri dan anak-anaknya pasti berasa terkejut kerana mereka semua tidak tahu yang dia ini akan pulang 3 hari awal. Lelaki ini sudah berasa girang di dalam hati. Tak sabar mahu memeluk anak-anaknya.

Sewaktu di dalam perjalanan, rasa hairan singgah di benak kepalanya. Kampung ini terasa sunyi sangat, tidak kelihatan langsung penduduk-penduduk kampung di kawasan berhampiran, binatang ternakan yang dahulunya banyak juga tidak menampakkan dirinya. Apa yang dapat lelaki ini lihat hanyalah bekas-bekas kawasan pembakaran yang masih berasap lagi. Lelaki ini cuba untuk positif, mungkin sekarang ini musim sejuk, jadi mereka semua memilih untuk tidak keluar dari rumah.

Lelaki yang kehairanan ini pun memasuki rumahnya. Kebetulan pintu hadapan tidak berkunci, jadi mudahlah dia untuk masuk ke dalam rumah. Diperhatikan keadaan dalam rumahnya agak berselerak, sunyi sepi, lampu rumah pun tidak dihidupkan menambahkan lagi rasa curiga. Dalam hatinya, adakah keluarganya juga mahu membuat kejutan? Rasanya tidak mungkin kerana mereka semua tidak tahu si suami akan pulang awal. Rasa gelisah menerjah hati lelaki ini. Sudah hampir seluruh bahagian rumah dicari, namun langsung tidak nampak bayang isteri dan anak-anaknya. Lantas telefon bimbit dicapai, nombor rumah mak mertuanya yang tinggal di pulau seberang dihubungi. Kedengaran suara isterinya di talian.

“Sayang, awak dekat mana, mana anak-anak kita semua?” Tanya si lelaki

“Abang dekat mana sekarang, bukankah lagi 3 hari abang akan balik?” Isteri menjawab penuh resah

“Abang dapat pelepasan awal, sengaja nak buat kejutan dekat awak. Abang ada di rumah kita sekarang ni.”

“Hah? Apa? Aa.. a.. abang, tolong keluar dari rumah dan kampung kita sekarang juga! Jangan Tanya kenapa. Cepat! Lari keluar dari kampung kita sekarang!” Kata isteri dengan jerit dan tangisan. Si suami sudah berasa amat hairan dengan kata-kata isterinya.

“Tapi kenapa? Apa yang sudah terjadi??” Lelaki itu mahukan kepastian.

“Sekarang bukan masanya untuk saya ceritakan semuanya! Masa dah suntuk. Cepat keluar dari situ!!” Makin kuat tangisan si isteri.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki sedang berjalan perlahan di belakang rumahnya. Lelaki tersebut jadi resah, telefon bimbit digenggam erat. Matanya melilau memerhati ke tingkap dapur.

“Sa..sayang.. abang dengar ada orang berjalan dekat belakang rumah kita..” kata lelaki kepada isterinya. Belum sempat dia menghabiskan ayat, pintu dapurnya dihentak kuat sehingga terkopak di tengah-tengahnya.

Di hujung talian, si isteri terdengar bunyi suaminya menjerit. Tidak lama selepas itu kedengaran pula bunyi benda berat terjatuh dan bergolek di atas lantai kayu rumah. Si isteri hanya mampu menangis teresak-esak sambil memegang erat tangan dua orang anaknya. Si isteri terkilan kerana tidak sempat memberitahu suaminya agar jangan pulang, kerana pembunuh bersiri yang suka menyembelih leher orang kampung kini kembali berlegar lagi.

4. MIMPI JADI KENYATAAN

Seorang remaja perempuan kerap bermimpi perkara yang aneh-aneh sewaktu tidur di malam hari. Sudah berbagai doktor, pakar psikitari dan ilmuan agama dia berjumpa. Namun jawapannya tetap hampir sama. Rata-rata mengatakan mimpinya itu hanyalah mainan tidur. Ada juga yang mentafsirkan remaja perempuan ini mengalami depresi dan keletihan yang melampau, membuatkan dia selalu mendapat mimpi ketika tidur. Dia menafikan sekeras-kerasnya perkara itu. Dia tahu yang dia tidaklah mengalami apa-apa tekanan dalam hidup, semua berjalan lancar dan gembira dengan hidupnya.

Pada suatu malam remaja perempuan ini telah bermimpi dia berjalan-jalan dan menjumpai satu kotak yang berisi kucing mati. Yang menjadi perihal serius, keesokan harinya kucing belaannya telah dijumpai mati dilanggar kenderaan. Remaja perempuan ini redha dan tidak mahu berfikiran negatif. Mungkin sudah ajal kucing tersebut, ujarnya pasrah. Tetapi yang menghairan di sini adalah, remaja perempuan ini semakin kerap bermimpi perihal yang aneh-aneh lagi menakutkan. Semua mimpinya mejadi kenyataan serta membawa maksud hampir-hampir sama seperti apa yang dimimpinya.

Ada suatu malam dia bermimpi rakan serumahnya sedang menangis sambil terduduk. Dua hari selepas mimpi tersebut, dia mendapat panggilan daripada majikan rakannya. Mereka memberitahu rakan serumahnya ini telah terjatuh dari tangga sewaktu hendak mengambil kotak fail di atas rak yang tinggi. Akibatnya kaki kirinya patah. 3 hari selepas mimpi tersebut, remaja perempuan ini bermimpi lagi. Kali ini dia bermimpi melihat banyak mayat terbaring di atas tanah lapang. Sekali lagi terjadi kejadian yang hampir serupa keesokan harinya. Sekumpulan pelajar-pelajar sekolah rendah yang sedang bermain bola di padang berdekatan rumahnya telah di bunuh beramai-ramai oleh banduan yang terlepas dari hospital mental. Manakala semalam, dia bermimpi melihat jari-jemarinya berlumuran darah. Esoknya sewaktu dia mahu menebuk dinding untuk menggantung gambar, alat penggerudi yang digunakannya telah terlepas dan mengenainya tangannya. Menitik-nitik darah keluar.

Lewat pagi itu dia terduduk sendirian di hujung katilnya dengan muka yang berpeluh-peluh. Jantungnya berdebar laju. Remaja perempuan ini baru sahaja terjaga daripada tidur akibat mendapat lagi mimpi yang menakutkan. Dia bermimpi tubuhnya telah diracik-racik dan disiat-siat dengan menggunakan pisau besar. Sewaktu sedang menanti dan mengelamun, tiba-tiba dia terdengar suatu bunyi di atas kepalanya. Apa yang dia lihat waktu itu adalah, skru kipas siling yang terletak betul-betul di atas kepalanya telah tertanggal satu demi satu. Hanya menanti saat. Remaja perempuan ini hanya tergamam apabila melihat bilahan-bilahan kipas yang besar ini jatuh di atas kepalanya.

#kisahseram #seram #penselstudio

penselstudio2016©allrightsreserved

No comments:

Post a Comment