#kisahseram Sesat Di Hutan Puaka
Pendakian ke puncak Gunung Naitamek masih jauh lagi. Kelihatan dari celah-celah pohon hutan yang rimbun 4 orang remaja dalam lingkungan umur pertengahan 20 an sedang duduk berehat. Mereka memilih untuk berteduh dan berehat sejenak di bawah pokok besar di situ. Sudah hampir 2 jam perjalanan tetapi masih belum menemui sinar harapan puncak gunung itu lagi. Mereka rasa sudah jauh berjalan namun apa yang mereka hairankan adalah trek yang mereka lalui 2 jam lepas kelihatan sama sahaja. 4 orang sahabat yang sangat menggemari aktiviti lasak mendaki gunung ini nampaknya sedang melalui detik sukar ketika itu. Malik, Ijul, Akim, dan Tarmizi masing-masing sudah gelisah.
Sudah berbelas-belas gunung yang mereka pernah daki, namun Gunung Naitamek ini sangat mencabar. Memang sengaja Malik, Akim, Ijul serta Tarmizi merancang dan memilih untuk mendaki gunung ini kerana ramai yang mengatakan gunung ini lebih mencabar serta menguji kemahiran sebenar seseorang pendaki. Jangan panggil diri anda pendaki gunung tegar jika anda belum pernah jejak puncak Gunung Naitamek. Begitulah kata salah seorang pendaki senior kepada mereka suatu masa dahulu. Hal ini membuatkan mereka berempat lebih bersemangat untuk menyahut cabaran itu.
Seperti biasa, sebagai seorang pendaki gunung profesional mahupun amatur, mereka perlu mematuhi setiap peraturan serta pantang larang ketika di dalam hutan gunung tersebut. Jika tidak, akibat buruk pasti akan terjadi. Gunung Naitamek merupakan gunung yang sangat popular dalam kalangan para pendaki. Bukan sahaja popular dengan ketinggiannya malah popular juga dengan hal-hal mistik serta misterinya. Boleh dikatakan sesiapa yang pernah mendaki di gunung ini pasti akan bercerita pengalaman-pengalaman misteri mereka ketika mendaki di situ. Itupun jika pendaki-pendaki ini masih hidup lagi selepas itu, kerana ada juga telah mengatakan bilangan pendaki yang mati ketika di dalam hutan gunung ini juga ramai. Sama ada mati sebab kesihatan ataupun mati yang misteri.
Sebenarnya pihak berkuasa tempatan memang telah mengharamkan gunung ini untuk di daki lagi oleh sesiapa atas sebab tertentu. Mereka kata hutan ini terlalu banyak binatang-binatang buas di dalamnya, jadi amat berbahaya untuk orang ramai mengadakan sebarang aktiviti rekreasi di dalamnya. Tetapi, 4 orang sahabat ini tahu pihak berkuasa serta media menggunakan alasan ini hanya untuk tidak menakut-nakutkan orang ramai. Hal yang sebenarnya adalah, terlalu banyak kejadian misteri serta menyeramkan yang berlaku di Gunung Naitamek. Bukan kerana haiwan buas. Tetapi penunggu, syaitan dan jin buas.
Antara mitos popular ataupun urban legend daripada mereka yang pernah menjejaki gunung ini ialah penampakan lembaga perempuan di sekitar tasik di dalam hutan gunung ini. Lembaga perempuan itu yang dikatakan fizikalnya berambut panjang dan berwajah cantik akan selalu datang untuk menggoda sesiapa sahaja yang melalui kawasan tasik tersebut. Sebenarnya ini hanyalah perangkap. Mitos mengatakan perempuan ini pada zaman dahulu telah dirogol oleh orang-orang kampung, dan bagi menutup bukti, mayatnya kemudian dihumban ke dalam tasik . Jadi sampai ke hari ini rohnya berdendam dan akan menganggu sesiapa sahaja yang melalui kawasan tasik tersebut. Terutama lelaki!
"Ish ye ke macam tu Tarmizi?" Malik, Ijul, dan Akim terkejut dan berpandangan sesama sendiri apabila Tarmizi membuka cerita berkenaan perempuan berambut panjang di tepi tasik.
"Ya. Tetapi ada satu tips yang senior aku dulu beritahu aku cara-cara nak mengelak daripada roh perempuan ini. Sepanjang perjalanan di tasik itu nanti, ambil dua biji batu dan ketuk antara kedua-duanya. Jangan berhenti selagi belum melepasi kawasan hujung tasik itu." Tarmizi memberi penjelasan
"Tapi kenapa batu?" Tanya Akim sambil meneguk air daripada botol.
"Perempuan itu berasal daripada bangsa keturunan asli di hutan ini. Budaya mengetuk-ngetuk batu ketika itu adalah sebahagian daripada tradisi kaum mereka, iaitu sebagai salah satu alat hiburan dan muzik suatu masa dahulu. Jadi 'dia' tidak akan mengacau kita kerana 'dia' akan fikir kita ni daripada kaumnya juga. Aku harap semua kuatkan semangat, kerana kita tidak tahu bagaimana rupa dan kewujudan perempuan itu nanti." Akim, Ijul dan Malik hanya tercengang mendengar cerita Tarmizi.
"Jom, dah lama sangat kita berehat ni. Nanti lewat sampai ke atas." Tarmizi mengajak rakannya semua meneruskan perjalanan.
Kesemua mereka berjalan perlahan-lahan menyelusuri laluan hutan tersebut, langkah berjaga-jaga diambil kerana mereka tidak tahu apa yang bakal mereka hadapi di hadapan nanti. Semakin lama semakin dalam mereka masuk ke dalam hutan. Pokok-pokok besar yang mengelilingi mereka membuatkan kawasan laluan itu menjadi gelap kerana terlindung daripada cahaya matahari. Suasana amat sunyi waktu itu. Unggas dan burung langsung tidak berbunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi tanah dan batu-batu yang mereka pijak serta bunyi nafas penat mereka berempat. Sudah agak lama juga mereka berjalan dan mendaki pada waktu itu.
Tiba-tiba.
"Sebenarnya apa yang aku cerita tadi hanyalah sebahagian daripada misteri di hutan ni" Tarmizi tiba-tiba bersuara.
"Apa? jadi banyak lagi lah misteri-misteri yang kita tak tahu?" Akim terkejut.
"Aku tahu hutan Gunung Naitamek ini banyak misterinya, tapi tak adalah aku tahu secara terperinci. Selain lembaga perempuan di tasik itu apa lagi yang ada di sini Tarmizi?" Ijul bertanya soalan yang agak penting kepada Tarmizi. Tarmizi menghentikan langkahnya.
"Belau."
"Belau? Apa benda tu?" Akim, Ijul berkata serentak.
"Belau adalah makhluk kerdil yang sangat liar. Dia tinggal di dalam hutan ni. Kerjanya suka menyesatkan orang yang berjalan di dalam hutan. Jika orang yang telah sesat ini mahu memanggil rakan-rakannya, Belau ini suka mempermain-mainkan kita dengan menyahut dan meniru suara rakan-rakan mereka. Jadi orang yang sedang sesat ini akan bertambah sesat. Kerana mengikut arah suara Belau itu tadi yang sudah pastinya bukan ke arah jalan yang betul" Kata Tarmizi sambil menyambung perjalanan.
Akim dan Ijul tergamam. Terkejut mereka mendengar tentang misteri Belau itu. Sambil itu mereka terus meneruskan perjalanan. Mereka tidak mahu sampai ke puncak dalam keadaan hari sudah lewat.
"Eh, Malik mana??" Akim menoleh ke belakang. Tarmizi dan Ijul tersentak apabila melihat ketiadaaan Malik. Masing-masing berpandangan sesama sendiri dengan wajah yang gelisah.
Tarmizi pandang Ijul, Ijul pula pandang Akim.
"BELAU!" kata mereka bertiga serentak.
Tarmizi, Ijul, dan Akim kelam-kabut mencari Malik di sekeliling mereka. Mereka bertiga menjerit memanggil nama Malik namun tiada sebarang sahutan pun. Tarmizi tidak menggalakkan mereka berpecah untuk mencari Malik. Hutan Gunung Naitamek ini berbeza dengan hutan-hutan lain, kerana sudah terbukti hutan ini memang keras. Mereka berpatah semula dan mencari Malik di tempat berhenti rehat sebentar tadi, namun tiada kelibatnya di situ. Mustahil mereka dapat mencari petunjuk kehilangan Malik di dalam hutan belantara yang tebal itu. Semua pokok kelihatan sama.
"Aku rasa baik kita lupakan misi kita untuk ke puncak gunung ini. Baik kita pentingkan keselamatan kita semua dahulu. Sekarang kita kena cari Malik sampai jumpa! Dia mesti ada dekat-dekat sini punya" Ijul memberi kata-kata perangsang kepada Tarmizi dan Akim.
"Mungkin Malik terlalu kepenatan atau pun pengsan. Ya mesti dia mesti berada di mana-mana. Mari kita teruskan cari dia" Kata Tarmizi.
Habis seluruh pelusuk telah mereka cari, tiada langsung jejak Malik mereka temui. Mana mungkin jumpa dengan begitu mudah di tengah-tengah hutan yang terlalu luas ini, kata ijul. Setengah jam sudah berlalu, mereka sudah semakin hampa dan berputus asa. Tarmizi menegaskan kepada Ijul dan Akim bahawa ini mesti kerja makhluk kerdil itu, Belau. Tiba-tiba Akim ternampak satu tubuh yang sedang berdiri tegak di celah-celah pokok tidak jauh daripada mereka. Akim tidak nampak dengan jelas namun dia pasti fizikal yang sedang berdiri itu ialah Malik berdasarkan beg birunya yang Akim sudah begitu kenal. Malik berdiri membelakangi mereka ketika itu.
"Eh, itu Malik kan!" Akim berteriak. Ijul dan Tarmizi terus memandang ke arah tangan yang ditunjukkan oleh Akim.
"Eh, haah!! Jom, jom kita pergi dapatkan dia!" Ijul bersemangat
Ketiga-tiganya pun berlari ke arah Malik yang berdiri tidak jauh di hadapan mereka. Namun, sedang mereka berlari di celah-celah pokok, tidak semena-mena kedengaran satu suara di belakang mereka.
Satu suara yang sangat aneh pada waktu-waktu genting begitu.
"Tarmizi, Ijul, Akim!! Korang dekat mana...!!"
Mereka bertiga tersentak dan memberhentikan larian. Masing-masing cuba mengamati bunyi dan arah suara itu dengan betul. Mereka berpandangan antara satu sama lain.
"Eh, itu kan suara Malik. Tapi datangnya dari arah belakang sana. Habis yang berdiri dekat depan sana tu siapa??" kata ijul gelisah. Waktu itu mereka jadi dilema dan keliru. Mereka tidak pasti sama ada yang memanggil mereka ketika itu memang benar Malik ataupun yang sedang berdiri tidak jauh di hadapan ini Malik yang sebenar.
"Hoiii..! Korang dekat mana tu? Tar, Ijul Akim...!!" suara 'Malik' kedengaran lagi. Ketika itu 'Malik' yang sedang berdiri jauh dihadapan hanya berdiri tegak. Ijul, Akim, dan Tarmizi tidak dapat melihat wajahnya oleh kerana dia berdiri membelakangi mereka.
"Macam mana ni Tarmizi?! Kita patut percaya yang mana satu ni?!" Akim dan Ijul sudah resah.
"Aku tak tahu! Yang berdiri dekat sana tu memang nampak macam Malik, tapi kenapa dia berdiri tegak je tak bergerak-gerak? Aneh betul. Tapi yang sedang panggil kita dekat belakang sana tu dah memang suara Malik!" Tarmizi sudah buntu.
"Kita kena bertenang dan fikir secara rasional sekarang ni! Ok, dekat depan sana tu da memang sah Malik. Yang sedang panggil kita sekarang ni pula memang macam suara Malik. Tapi kita tak nampak wajah dan fizikalnya. Ini semua kerja makhluk kerdil liar yang kau cakap tu Tarmizi! Dia dah tiru suara Malik untuk perdayakan kita!" Akim cuba memberi pendapat bernas. Tamizi dan Ijul mengangguk-angguk faham.
"Tapi, macam mana kalau yang di depan kita ni bukan Malik? Sebab kita hanya nampak belakang badannya sahaja, tapi tidak mukanya. Macam mana kalau yang itu juga bukan Malik?!" Ijul cuba memberi pendapat. Akim dan Tarmizi menggaru-garu kepala.
"Macam ini lah. Kita berpecah. Akim pergi dapatkan 'Malik' yang sedang berdiri dekat depan sana tu, dan Ijul pulak pergi ke arah suara 'Malik' dekat belakang kita ni. Kita periksa dan pastikan yang mana satu betul-betul Malik!" Tarmizi memberi arahan
"Habis kau pulak buat apa?" Ijul dan Akim tidak puas hati.
"Aku akan berdiri dekat laluan tengah ni. Jika Akim dapat Malik yang betul, Akim akan terus jerit pada aku. Jerit perkataan 'BETUL' dengan kuat. Jadi aku akan berlari dapatkan dan selamatkan Ijul. Manakala jika Ijul dapat Malik yang betul, Ijul akan jerit pada aku dan aku akan berlari ke arah Akim dan selamatkan dia. Hutan ini bukan hutan biasa-biasa. Kita tak tahu apa yang akan menunggu kita." Tamizi memberi arahan panjang lebar.
"Ok, jom kita mulakan!"
Ijul berjalan ke kiri dan menuju ke arah suara 'Malik' yang sedang memanggil-manggil mereka. Akim pula berjalan ke kanan menuju ke arah 'Malik' yang sedang tegak berdiri tidak bergerak-gerak daripada tadi. Mereka berdua bagai memperjudikan nasib dan nyawa mereka ketika itu. Semuanya demi keselamatan dan nyawa Malik juga. Tarmizi sudah bersedia di tengah-tengah.
"Macam mana kalau kedua-duanya pun bukan Malik?" Ijul berhenti sejenak lalu memberi soalan cepu cemas kepada Tarmizi. Tarmizi terdiam.
BERSAMBUNG..
#kisahseram #seram #penselstudio #antiplagiarism
penselstudio2016©allrightsreserved
No comments:
Post a Comment