adss 2

Sunday, 3 April 2016

Kisah seram : sejak hari itu...

#kisahseram Sejak Hari Itu..

Kisah seram malam ini terhasil daripada sambungan ayat-ayat 'Sejak Hari Itu' yang kamu semua hantar kepada kami, Sepuluh ayat-ayat ini adalah yang terbaik kami pilih dalam banyak-banyak. Dalam kisah seram ini kami telah memasukkan semua ayat-ayat itu untuk menjadi pelengkap suatu cerita. Cerita ini sememangnya agak panjang, harap kamu semua dapat membaca dengan sabar dan tenang untuk membantu fokus memahaminya. Lebih afdal dibaca pada tengah malam dan ketika berseorangan. Minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk kami mencari ayat yang terbaik disamping memerah idea untuk menghasilkannya. Terima kasih semua, Harap kamu semua enjoy.

Pernahkah anda terfikir, bagaimana jika anda diberi peluang untuk mengalami pengalaman seram lagi menakutkan dalam satu malam tanpa henti? Dalam keadaan di mana anda tidak diberi peluang untuk melepaskan diri malah harus menikmati 'keseronokkan' pengalaman seram tersebut. Kisah ini terjadi pada suatu malam sewaktu aku sedang bersiar-siar mengambil angin. Kereta, aku tinggalkan di parkir yang lapang bersebelahan bangunan lama. Tekanan hidup yang begitu memuncak membuatkan aku mengambil keputusan untuk keluar berjalan tanpa arah tuju seorang diri malam itu. Fikiran aku sudah berkecamuk, jiwa aku entah ke mana. Seribu satu masalah menghinggap di benak kepalaku lalu menuju ke saraf-saraf.

Aku pandang sahaja bangunan usang yang tersergam tidak jauh di sebelah aku waktu itu. Bunyi anjing menyalak sayu menimbulkan rasa seram. Namun aku tidak langsung berasa seram atau takut pada waktu itu. Mungkin kerana hal tekanan hidup sudah menguasai hampir 99.9% otak aku malam itu. Buatkan aku imun.

Dahulunya dikatakan bangunan besar di hadapan aku ini dirancang untuk membina sebuah pasar raya, namun entah kenapa projek ini terhenti di situ.  Mungkin kontraktornya lari. Hampir sebahagian bangunan sudah siap, manakala sebahagian lagi masih berbatu bata. Lumut, kotoran serta tumbuhan-tumbuhan liar sudah memenuhi permukaan bangunan itu. Memang menyeramkan bagi sesiapa yang melaui kawasan itu. Penduduk setempat ada mengatakan ternampak kelibat itu dan ini bangunan tinggal tersebut. Katanya ada yang ternampak kelibat perempuan mendukung bayi kecil di tingkat dua. Tidak kurang ada juga yang selalu mendengar bunyi ketawa dan hilaian panjang yang menyeramkan sewaktu melalui kawasan tinggal itu.

Aku mencampak puntung rokok di atas rumput lalu berjalan ke arah bangunan usang tersebut. Pada waktu itu aku sudah tidak fikir apa, apa yang aku mahu hanyalah menenangkan diri yang cukup berserabut ini. Seiring aku berjalan menuju ke dalam bangunan lama tersebut, masalah-masalah hidup juga menerawang di dalam fikiranku. Aku terbayangkan hal di tempat kerja di mana semua orang memperlekehkan aku, aku terbayang keluarga aku yang sentiasa tidak faham apa yang aku impikan dalam hidup, dan aku terbayangkan Zara. Perempuan yang selalu dan selalu mengkhianati aku di waktu aku sudah mencurahkan segala jenis macam perasaan cinta padanya.

Ah, pergi mati dengan semua tu! Bisik hati rebel ku. Kini aku sudah memasuki bangunan usang yang dikatakan berhantu ini. Gelap gelita. Mujur ada lampu suluh di telefon. Aku berjalan perlahan-lahan untuk cuba memasuki bahagian utama bangunan yang besar itu. Bersepah kayu-kayu, ranting pokok, daun-daun kering dan juga kertas-kertas kotak. Aku syak Mat pet jadikan tempat ini sebagai sarang melepaskan gian. Aku menjadi semakin berani, aku berjalan terus lebih dalam lagi. Terdapat satu bahagian besar, selebar padang bola sepak bersaiz standard. Di kirinya terdapat sebuah pokok kecil yang sudah tumbuh melalui retak-retak dinding. Dibahagian siling pula terjuntai wayar-wayar berwarna hitam yang belum siap dipasang.  Mungkin ini bahagian utama pasar raya, ujar ku dalam hati. Jarum jam melewati angka 12 malam. Tiba-tiba.

"Kring! Kring!"

Aku terperanjat. Telefon bimbit aku berbunyi. Lampu suluh di telefon bimbit aku mati kan dahulu bagi menjawab panggilan yang entah daripada siapa itu. Bila aku lihat di skrin, nombor yang terpapar adalah nombor yang aku tidak kenali. Tanpa berfikir panjang aku pun menjawab panggilan itu. Mungkin rakan-rakan sedang dalam kecemasan. Yang anehnya, si pemanggil senyap tidak memberikan respon apa-apa walaupun dengan perkataan hello. Aku memanggilnya berkali-kali. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi seperti orang sedang mendengus di dalam talian telefon itu, kemudian ketawa! Aku sudah tidak sedap hati. Aku terus memanggilnya.

"Hello!, siapa ni! Helo!!!"

Namun tiada sebarang respon perkataan, si pemanggil hanya mendengus dan kadang kala ketawa jahat. Tidak berapa lama selepas itu di dalam talian, aku terdengar bunyi seperti pisau sedang diasah. Berkali-kali perbuatan itu diulang. Aku cuak lalu terus memutuskan panggilan tersebut. Dalam fikiran aku, mungkin sampai sini sahaja masa untuk aku berjalan-jalan lewat malam di dalam bangunan ini. Aku terus berpatah balik untuk keluar ke arah pintu aku masuk sebentar tadi. Sewaktu sedang berlari menuju ke pintu, telefon bimbit aku berdering lagi. Aku sempat melihat nombor  telefon yang membuat panggilan itu, ternyata nombor yang sama yang menghubungi aku tadi! Aku menyumpah. Tetapi ada benda yang membuatkan aku menyumpah sekali lagi. Pintu hadapan yang aku masuk tadi sudah bertutup dan berkunci rapat. Bila aku tolak kuat, terdengar bunyi mangga sedang bergoncang dari luar. Aku terperangkap!

Aku masuk semula ke dalam, dihujung sebelah hadapan sana memang aku perasan ada pintu lain tadi. Jadi mungkin itu satu-satunya yang menjadi harapan aku di waktu genting ini. Telefon aku berdering lagi. Kali ini bunyi pesanan ringkas. Aku buka. Nah! Nombor yang menganggu aku tadi telah menghantar imej gambar aku daripada bahagian belakang. Gambar sewaktu aku baru mula-mula masuk ke dalam bangunan ini tadi. Berbakul-bakul perkataan 'sial' telah aku keluarkan malam itu. Aku terus berlari ke pintu hadapan, juga bertutup. Namun berjaya dibuka selepas aku tendang dengan sekuat hati. Aku berlari menuju masuk ke dalam kereta dan pergi dari situ. Sewaktu aku memecut laju, aku terlihat kelibat seorang lelaki betul-betul di atas bangunan usang itu. Memerhati aku dengan penuh rasa bengis.

Sejak hari itu aku tidak akan lagi menjawab mana-mana panggilan telefon daripada nombor-nombor yang tidak dikenali terutamanya pada lewat malam tepat jam 12.00 a.m.

Aku terus memandu tanpa arah tujuan. Hati aku masih berdebar-debar lagi disebabkan kejadian tadi. Aku fikir, ada baiknya juga aku menjawab panggilan telefon itu tadi. Sekurang-kurangnya aku tahu ada bahaya di situ. Jika tidak mungkin aku sudah jadi mangsa. Aku sudah membayangkan rakan-rakan sekerja aku, keluarga aku, dan juga Zara. Mereka pasti berasa sedih yang amat apabila melihat cerita kematian aku di dada akhbar esok hari. Masa itu baru lah semua hendak merasa simpati ke atas aku. Selama ini jangan harap. Aku pusingkan stereng ke arah kiri dan melalui terus jalan yang menempatkan kilang-kilang. Jalan itu memang agak lengang dan sunyi. Kelihatan lori-lori besar di bahu kiri jalan. Aku terus memandu membelah kabus malam diulit irama sepi.

Aku menuju ke sebuah rumah kedai dua tingkat yang mempunyai reka bentuk lama. Aku memberhentikan kereta betul-betul di bawah lampu jalan. Di kanan aku pada waktu itu terdapat sederet bangunan kedai dua tingkat manakala di sebelah kiri aku adalah tempat pengumpulan besi buruk. Kerusi kereta aku baringkan sedikit untuk aku selesa bersandar. Lampu jalan berwarna kuning menyuluh samar-samar ke muka aku. Aku membakar sebatang rokok dan menikmati kesunyian malam. Ya, kadang kala bersendirian ini memberi nikmat yang mengasyikkan. Aku dapat lari sebentar daripada segala macam masalah. Malam itu hanya ada aku, fikiran yang berserabut dan bunyi cengkerik.

Aku menoleh ke kanan untuk menghembuskan asap rokok ke luar tingkap. Mata aku tertarik pada satu kedai lama ini. Di situ tertulis pada papan tanda dengan tulisan jawi. Walaupun sudah 19 tahun meninggalkan sekolah agama, aku masih dapat membaca huruf-huruf jawi itu dengan baik. Tertulis di situ 'Kedai Barang Antik', tulisan jawi yang bercat tangan itu nampak sudah lusuh. Aku membuka pintu kereta dan keluar berjalan ke kedai tersebut. Aku tidak pasti apa yang aku cuba buat malam itu, yang aku tahu aku hanya berdiri memandang kedai itu. 5 minit aku bazirkan masa aku yang memang sudah terbazir di situ. 'Eh, ada tangga menuju ke atas." Bisik aku apabila terlihat ada sebuah tangga di sebelah kiri kedai tersebut.

Laluan ke atas agak gelap, namun bagai ada suatu yang menarik aku ke situ. Aku tak salahkan otak aku yang berserabut ketika itu kerana fikirkan tindakan yang bukan-bukan. Laluan tangga agak berhabuk, di hujungnya terdapat sebuah pintu kayu yang hampir reput. 'Krekk..' Pintu kayu itu aku tolak perlahan. Cahaya daripada tiang lampu di tepi jalan membantu aku melihat keadaan segenap ruang bilik itu walau agak samar. Terdapat banyak kotak-kotak kayu yang disusun bertingkat, aku tak tahu apa isi dalamnya dan aku tak mahu ambil tahu pun. Di sudut bilik gelap itu aku terlihat dua tiga batang kayu panjang yang disandarkan ke dinding. Bilik gelap itu hampir dipenuhi dengan sawang. Aku berjalan kehadapan sedikit menuju ke tepi tingkap. Kelihatan ada satu key chain berbentuk piramid terletak di atas lantai berhampiran tingkap. Aku mengambilnya. Buatannya sungguh cantik.

Aku menoleh ke kanan. Hampir gugur jantung aku tatkala terpandang patung boneka kayu yang tersandar di tepi sebuah kotak kayu. Patung berwajah seperti badut bersaiz kanak-kanak kecil itu seperti sedang tersenyum memandang aku. Selain patung kayu itu ada sesuatu lagi yang menarik perhatian aku ketika itu. Aku terpandang satu tulisan di tepi kotak kayu tempat patung itu disandarkan. Tulisannya agak carca-marba namun masih dapat dibaca dengan baik. Tulisan itu berbunyi "Sejak hari itu aku tak akan menyanyikan lagu Enjit-Enjit Semut di tengah malam dan di dalam bilik gelap seorang diri sambil ditemani patung boneka itu".

Aku mengaru kepala. Sambil menggaru aku pandang  muka patung badut di sebelah kotak kayu tersebut. Rasa hairan bin ajaib timbul dalam fikiran aku yang sememangnya sudah kacau bilau waktu itu. Siapa pula yang tulis ayat ini? Dan mengapa pula si penulis tidak mahu lagi menyanyikan lagu enjit-enjit semut sambil ditemani patung itu? Dua persoalan itu semakin menganggu kepala aku. Aku mahukan jawapan. Aku tahu ia agak mengarut tetapi aku harus cuba. Untung sabut timbul. Aku duduk bersila di hadapan kotak kayu tersebut. Patung boneka itu aku angkat dan dudukkan betul-betul di hadapan aku. Aku pun mula menyanyi.

"Enjit-enjit semut... siapa sakit naik atas... Enjit-enjit semut... siapa sakit naik atas... "

Berulang-ulang aku nyanyi dengan nada perlahan. Aku sendiri yang nyanyi aku sendiri yang meremang. Haru betul dibuatnya. Aku teruskan nyanyian sambil terketar-ketar. Sekeliling bilik gelap itu aku perhati, mana tau jika ada apa-apa yang muncul. Namun sewaktu sedang meneruskan menyanyi lagu seram itu tidak semena-mena patung boneka di hadapan aku mengelipkan matanya! Sumpah aku tak tipu, memang patung itu mengelipkan matanya kepada aku. Aku berundur ke belakang sedikit. Bimbang jika ia memberi ancaman. Nak dijadikan cerita lagi, waktu itu aku terdengar bunyi seperti ada orang sedang menaiki tangga.

Satu-satu anak tangga itu dilangkahi. Aku sudah tak keruan. Semakin lama semakin hampir bunyi orang itu menaiki ke atas. Kedengaran bunyi perempuan tua sedang terbatuk-batuk. Patung itu pula masih mengelip-gelipkan matanya, aku rasa macam nak campak keluar sahaja  patung itu melalui tingkap. Tetapi bunyi pintu terbuka membuatkan aku lupa akan segala-galanya. Ketakutan mengatasi kewarasan. Wajah menakutkan di muka pintu itu membuatkan aku terjun keluar melalui tingkap. Nasib aku baik. Badan aku menghempas timbunan kotak-kotak di bawah. Kunci kereta di pulas, pedal minyak di tekan habis, aku memecut beredar dari situ.

Aku sudah berlalu jauh kira-kira 6 kilometer daripada tempat tadi. Aku tak pasti apa yang aku nampak di hadapan pintu tadi sama ada manusia atau syaitan. Tetapi wajahnya seperti nenek kebayan! Sungguh menakutkan sekali. Mungkin nenek kebayan itu ada kaitan dengan patung boneka dan lagu enjit-enjit semut yang aku nyanyi itu tadi. Mungkin nenek itu pemiliknya. Tak dapat aku bayangkan rambut putih kerinting dengan wajah berkedut seribu nenek kebayan itu tadi. Matanya tajam menjegil ke arah aku. Patutlah tulisan yang aku baca di dalam bilik gelap itu tadi mengatakan dia tidak mahu lagi menyanyikan lagu enjit semut sambil ditemani patung boneka badut itu. Yang memelikkan lagi keadaan, aku rasa aku sudah tekan habis pedal minyak kereta tetapi mengapa macam tak mahu pergi sahaja kereta ini.

Aku rasa bagaikan membawa satu beban yang sangat berat. Kereta mengaum kuat tapi daya tujahannya agak lemah di situ. Ah sudah, aku mula seriau tatkala melihat cermin belakang. Dalam samar-samar malam, aku terlihat satu tubuh sedang duduk elok di belakang bonet kereta. Nenek kebayan tadi! hampir terbabas ke semak kereta aku pada waktu itu saat dia menolehkan mukanya. Ini memang tidak kelakar. Aku memandu terhoyong-hayang, ketakutan mengatasi kewarasan akal lagi ketika itu.

"Pulangkan barang yang kau ambil dari bilik akuuu!!!!". Nenek kebayan itu mengeluarkan suara yang sangat nyaring lagi halus. Wajahnya yang aku perasan pada waktu itu sangat marah. Baru aku teringat yang aku ada terambil key chain berbentuk piramid di bilik itu tadi. Pantas aku menyeluk poket jeans dan mencampak jauh-jauh key chain tersebut keluar tingkap. Aku lega, kereta sudah bergerak normal, kelibat nenek kebayan tidak terlihat lagi di cermin belakang. Sejak hari itu aku tidak akan lagi mengambil atau mengutip barang-barang pelik yang bukan milik aku kerana aku tahu setiap barang memiliki penunggu yang tersendiri.

Aku terus memandu melayari malam yang penuh dengan pelbagai kejadian itu. Kali ini pemanduan aku agak tenang setelah aku memasang cd alunan ayat-ayat Al-Quran di radio. Aku melalui satu kawasan pekan kecil, di waktu-waktu begini memang tiada satu pun kedai yang buka walaupun kedai mamak. Jarum jam sudah melepasi angka 2 pagi. Aku berkerut. Bukan berkerut kerana kedai mamak sudah tutup, tetapi kerana sakit perut yang amat sangat datang menyinggah secara tiba-tiba. Di waktu-waktu begini pula. Aduh. Aku menjerit di dalam hati. Jika ditahan sakit perut ini memang 'parah' akibatnya.

No comments:

Post a Comment