#kisahseram Sesat Di Hutan Puaka (Bahagian ke dua)
(Sedutan bahagian satu)
Ijul berjalan ke kiri dan menuju ke arah suara 'Malik' yang sedang memanggil-manggil mereka. Akim pula berjalan ke kanan menuju ke arah 'Malik' yang sedang tegak berdiri tidak bergerak-gerak daripada tadi. Mereka berdua bagai memperjudikan nasib dan nyawa mereka ketika itu. Semuanya demi keselamatan dan nyawa Malik juga. Tarmizi sudah bersedia di tengah-tengah.
"Macam mana kalau kedua-duanya pun bukan Malik?" Ijul berhenti sejenak lalu memberi soalan cepu cemas kepada Tarmizi. Tarmizi terdiam.
...................................................
"Kalau dua-dua pun bukan Malik.. Korang lari secepat mungkin ke arah aku dan kita akan melarikan diri terus mengikut laluan tengah ini menuju ke utara. Kawasan di sana terang dan tak banyak pohon rimbun. Belau tak suka pada kawasan yang terang. Ingat salah seorang daripada kamu berdua akan berjumpa dengan belau, sama ada di kiri atau di kanan. Berhati-hati." Tarmizi memberi taklimat terakhir kepada dua orang rakannya itu.
Akim terus berjalan ke arah kanan, dari jauh sudah nampak susuk tubuh 'Malik' yang daripada tadi asyik berdiri tegak sahaja. Langsung tidak nampak sebarang gerakan pada dirinya. Akim membaca ayat-ayat pelindung, dia harus terima sebarang kemungkinan apa yang bakal berada di hadapannya nanti. Semakin lama langkahnya semakin hampir kepada 'Malik'. Jantung Akim berdegup kencang, rasa takut dan seram menyelubungi segenap tubuhnya di luar dan dalam. Akim berhati-hati dalam langkahannya, dia bimbang 'Malik' yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya sedar akan kehadirannya.
Ijul mencapai sebatang dahan pokok sebesar lengannya untuk dibuat senjata. Kakinya perlahan-lahan melangkah semak-samun dan pohon-pohon renek di lantai hutan tersebut. Sekejap-sekejap kedengaran seperti bunyi tapak kaki sedang berlari di belakangnya. Dalam ketakutan, Ijul cuba menguatkan semangatnya. Suara 'Malik' semakin lama semakin hampir, Ijul tidak cuba untuk menyahutnya. Dia bimbang kalau-kalau itu hanyalah mainan syaitan yang mahu memperdayakannya. Namun Ijul harus berhati-hati dan berfikir dengan pantas, kerana mungkin suara itu benar milik Malik. Ijul terhenti sejenak. Suara itu semakin jelas kedengaran, Ijul sangat pasti berdasarkan deria pendengarannya yang masih baik lagi, bunyi suara 'Malik' itu datang dari atas pokok di hadapannya. "Tolong aku.. tolong.." Mendayu-dayu suara 'Malik'.
Akim hanya beberapa inci sahaja daripada 'Malik'. Akim pasrah, dia tidak mempunyai pilihan lain lagi selain ini. Akim cuba menguatkan semangat untuk memandang wajahnya. Perlahan-lahan Akim menyentuh bahu 'Malik' dengan harapan dia akan berpaling ke arahnya.
Ijul melangkah ke hadapan sedikit untuk memastikan bunyi itu memang dari atas pokok di hadapannya. Tiba-tiba kedengaran bunyi dahan bergoyang-goyang. Ijul memandang ke atas, dan..
"LARIIII ...!!!!"
Tarmizi sudah agak perkara yang paling ditakuti ini pasti akan terjadi. Ijul dan Akim telah bertemu dengan 'Malik' yang palsu!
"Akim, Ijul..! Lari terus ke arah utara, cepat!! Lari!!" Dari jauh Tarmizi dapat lihat jelas Ijul telah di kejar oleh makhluk kenit bertubuh hitam bermata merah. Hal yang sama juga terjadi pada Akim. Bagai tidak cukup tanah mereka berlari ketika itu, ketiga-tiga mereka terus berlari dan berlari menuju ke arah utara. Sebuah kawasan yang terang dan tidak banyak pokok. Belau tidak suka akan cahaya, cahaya itu dapat menyakitkan tubuhnya. Itu apa yang telah diberitahu kepada Tarmizi.
Berbekalkan kudrat yang ada, Tarmizi, Akim, dan Ijul terus berlari untuk mengelakkan diri daripada makhluk kenit yang sedang mengejar mereka ketika itu. Wajah kesyaitanan makhluk itu membuatkan mereka bertiga berasa kecut perut. Menoleh kebelakang adalah bukan satu perkara yang bijak waktu itu. Makhluk yang dipanggil Belau itu sesekali mendengus dan ketawa mengekek. Meremang mereka mendengarnya!
Akhirnya setelah berhempas pulas berlari, mereka sampai juga ke arah utara tempat di mana bukit-bukit batu besar tersergam indah. Di kiri dan kanan hanya terdapat rumput dan pohon-pohon kecil. Cahaya matahari terang menyuluhi kawasan itu. Tetapi apa yang penting adalah mereka bertiga dapat melarikan diri daripada makhluk kenit liar itu. Tarmizi, Akim, dan Ijul tercungap-cungap melepaskan lelah. Setelah memastikan keadaan di sekeliling selamat, mereka bertiga duduk dan berbaring sebentar di atas batu-batu besar di situ. Air bekalan sudah tinggal sedikit.
"Ijul apa yang kau jumpa tadi?" Tanya Tarmizi
"Aku dengar suara Malik dari atas pokok. Bila sampai je dekat satu pokok tu, aku terus pandang ke atas. Hantu kenit hitam tu tengah bergayutan dekat atas dahan sambil mulutnya menyeringai memandang aku." Jawab Ijul kepenatan.
"Aku pulak, bila aku sentuh je bahu 'Malik', bukan Malik yang aku jumpa tapi ada satu muka setan mana entah toleh dan pandang aku. Badan Malik, tapi muka setan. Setan betul!" Akim berasa marah.
"Shh.. dah. Kawal sikit percakapan tu Akim. Kita dekat tempat keras ni. Kita berdoa lah supaya Malik dalam keadaan selamat dan semoga cepat kita menemuinya." Tarmizi cuba menenangkan keadaan.
Mereka bertiga mengambil keputusan untuk berehat sebentar di atas batu itu. Tetapi, oleh kerana terlalu penat, mereka bertiga akhirnya terlelap di situ.
Masa terus melewati, hari pun semakin gelap. Langit yang cerah tadi sudah menutupkan tirainya. Sayup-sayup kedengaran bunyi anjing menyalak panjang.
"Woi! Kita dah tertidur lama ni! Tengok hari dah gelap!" Ijul tersentak dan terjaga. Tarmizi dan Akim turut terjaga mendengar suara kuat Ijul itu. Tarmizi menjeling jam tangannya, jam digitalnya menunjukkan angka 7.15 petang.
"Aduh. Macam mana kita boleh tertidur ni. Tapi agak bahaya kalau kita nak teruskan perjalanan. Sekarang ni pun kita tak tahu di mana koordinat tepat kita berada. Hari pun dah malam. Jadi lebih elok lah kita bermalam di sini dahulu. Macam mana?" Tarmizi memberi cadangan.
"Ok, kami setuju. Lagipun kita tak tahu apa yang berada di dalam sana. Mungkin lebih bahaya jika di malam hari." kata Ijul sambil merenung jauh hutan tebal itu.
"Tapi, macam mana pula dengan Malik?"Akim membuatkan mereka berasa serba salah.
"Hanya doa dan tawakal sahaja yang kita boleh lakukan sekarang. Dengan harapan dia selamat. Malam ni kita pasang unggun api, mungkin boleh dijadikan petunjuk untuk Malik dan untuk orang yang sedang mencari kita.
Malam itu mereka semua duduk berkumpul di tengah-tengah unggun api. Bekalan air sudah habis, begitu juga dengan bekalan makanan. Masing-masing memegang perut kerana sudah kelaparan. Akim kelihatan sedikit emosi malam itu. Pertama disebabkan kehilangan Malik, kedua sebab dirinya terlalu lapar dan dahaga.
"Ahh!! Aku dah tak tahan lagi. aku nak pergi cari air dekat sungai sana tu!" Akim bangun
"Sungai mana Kim? kau tahu ke dekat mana sungai itu? sabarlah. Sekarang ni pun kita tak tahu dekat mana kita berada." Tarmizi menjawab tenang. Akim terus monyok. Dia terus menguis-nguis tanah dengan menggunakan ranting kayu.
Ketiga-tiga mereka senyap tidak berkata apa pada waktu itu. Hanya unggun api yang menjadi penghangat mereka bertiga.
"Eh, Tarmizi, Akim. kau nampak tak apa yang aku nampak. Tu dekat hujung sana tu." Ijul bersuara. Ketiga-tiga mereka agak terkejut apabila melihat ada satu cahaya yang terang benderang di sebalik pokok-pokok rimbun di hadapan mereka. Mereka bertiga berpandangan antara satu sama lain. Permandangan suasana terang benderang itu sangat menghairan mereka bertiga.
"Aku rasa dekat situ mesti ada perkampungan. Aku nak pergi sana, tentu ada makanan! Kalau korang nak tunggu dekat sini SAMPAI ESOK, korang tunggulah! " Akim sudah hilang kawalan diri. Dirinya yang sudah terlalu lapar membuatkan reaksi kepada otaknya tidak seimbang dengan perbuatan. Dia terus berlari ke kawasan yang dilimpahi cahaya terang benderan itu.
"Akimm!! nanti!" Tarmizi menjerit ke arah Akim yang sudah berlari menuju ke sana. Nak tak nak, Tarmizi dan Ijul terpaksa mengekori Akim. Bimbang jika ada apa-apa yang terjadi kepada Akim. Tarmizi sempat mengambil sebatang kayu daripada unggun api untuk menerangi perjalanan mereka ke situ. Akim sudah jauh meninggalkan mereka berdua.
Akim sukar untuk mempercayai apa yang dia lihat ketika itu. Di hadapannya terdapat berpuluh orang yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Mereka sedang berkumpul di situ. Suasananya seperti berada di pasar. Ada yang sedang tawar menawar dan ada yang sedang sibuk berjual beli. Orang-orang di situ berpakaian agak sedikit aneh. Pakaian seperti dari zaman kuno. Wajah mereka juga agak kelihatan aneh baik lelaki atau perempuan. Mata mereka hanya berwarna putih, langsung tidak menampakkan anak mata hitam. Tarmizi dan Ijul hanya tercengang di belakang Akim. Mereka hairan bagaimana boleh ada pasar di tengah-tengah hutan sebegini.
Mereka bertiga berjalan perlahan-lahan melewati 'pasar malam' itu. Yang menghairankan, orang-orang di situ langsung tidak mempeduli atau bertanyakan sesuatu kepada mereka bertiga. Walhal Tarmizi tahu mereka itu pasti dari zaman dunia yang lain. Suasana agak riuh di situ, mereka berbual dan berkomunikasi dalam satu bahasa yang tak dapat mereka tafsirkan. Mungkin bahasa kuno. Mata Akim tertarik pada satu meja panjang yang dipenuhi dengan pelbagai makanan di atasnya. Dalam keramaian, Akim terus mendekati meja yang penuh dengan makanan itu. Ayam golek, buah-buahan dan minuman-minuman terhidang di atas meja tersebut.
Bau makanan-makanan itu membuatkan Akim terliur. Dia tidak memikirkan apa lagi selain mengisi perutnya yang sudah berkeroncong itu dengan makanan-makanan enak yang terhidang di hadapan dia. Akim mengambil ayam lalu memakannya dengan rakus.
“Akim, jangann..!!” Tarmizi terkejut melihat tindakan Akim. Tarmizi dan Ijul terus mendapatkan Akim untuk menghalangnya namun sudah terlambat.
Nasib tidak baik untuk Akim pada waktu itu. Terdapat salah seorang daripada penghuni asing itu ternampak Akim memakan makanan di atas meja itu. Dia memandang Akim , Tarmizi dan Ijul dalam wajah yang marah dan bengis. Penghuni hutan itu lantas memanggil rakan-rakannya yang lain lalu menangkap mereka bertiga. Semua penghuni aneh itu mengelilingi mereka dengan wajah yang amat marah. Salah seorang daripada mereka kelihatan seperti sedang bercakap sesuatu. Dan dengan tubuh badan yang besar, ketiga-tiga mereka telah di angkat dan di bawa ke suatu tempat.
Akim, Tarmizi dan Ijul melolong ketakutan. Mereka cuba menolak-nolak badan sasa orang aneh itu namun tidak terdaya. Sewaktu sedang dibawa ke suatu tempat, Ijul terpandang akan tulang-tulang yang bertaburan di atas sebuah pinggan besar. Saiz pinggan itu agak besar seperti pinggan untuk gergasi. Manakala tengkorak-tengkorak dibiarkan bersepah di atas meja dan ada juga yang bergolek-golek bersepah di bawah meja. Mereka bertiga tahu, nyawa mereka hanya tinggal beberapa saat sahaja lagi untuk di cabut dan diratah seperti tulang-tulang di atas meja tersebut.
“Tarmizi! Kita berada dekat mana ni!” Belum sempat Akim menghabiskan kata-katanya mereka bertiga telah dihumban ke dalam sebuah lubang yang sangat gelap. Masing-masing menggosok-gosok kepala mereka yang telah terhentak kuat dengan dinding lubang sedalam lebih kurang 10 kaki tersebut. Tidak lama selepas itu terdengar bunyi dentuman kuat dari atas. Pintu lubang itu telah ditutup kuat oleh lelaki aneh yang mengangkat mereka sebentar tadi.
“Tar, Ijul, macam mana ni. Kita dekat mana ni. Tolong woi, gelap sangat dekat dalam ni!” Akim menyesal.
“Sabar, aku ada bawak lighter” Ijul menyeluk saku jeans nya dalam kegelapan.
“Tapp!!” Lighter dipetik.
Saat lighter itu menyala menerangi lubang sedalam 10 kaki yang gelap itu, Tarmizi, Akim, dan Ijul terkejut besar apabila melihat sesuatu di hadapan mereka. Selain tulang-tulang dan tengkorak-tengkorak yang bersepah di dalam lubang itu, ada satu lagi perkara yang membuatkan mereka terkejut besar.
Ya, memang tidak mereka sangka waktu itu.
“MALIKKK!!”
Tarmizi, Ijul dan Akim terus meluru ke arah Malik yang sudah tersandar longlai di dinding. Keadaannya amat lemah ketika itu, mujur nafasnya masih ada. Mukanya sudah kelihatan amat compang-camping manakala bajunya amat kotor. Mereka semua bersyukur ditemukan dengan Malik yang masih dalam keadaan selamat. Namun Tarmizi dan Ijul risau melihat Malik yang sangat lemah dan tak berdaya untuk membuka mata. Ijul membakar kayu-kayu yang berada di situ untuk di jadikan unggun bagi menghangatkan tubuh.
Akim mendekati Malik yang tersandar lemah.
“Malik nah, aku sempat curi air dan makanan sedikit dekat atas tadi. Nah!” Akim menyuapkan Malik makanan dan menuangkan air ke dalam mulut Malik. Malik meminumnya dengan gopoh sekali. Tarmizi dan Ijul tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Otak kau ni ada guna juga ya Akim. Sempat lagi kau ambil makanan tu dan simpan dalam poket kan.” Tarmizi memuji Akim, dan mereka semua ketawa.
Malik sudah mula ada tenaga untuk bangun dan bersuara. Dia pun menceritakan pengalaman dan detik-detik saat dia tersesat jalan yang membawanya ke alam aneh ini.
“Waktu tu korang semua dan jauh berjalan ke depan, tiba-tiba aku teringat yang botol air aku tertinggal dekat tempat mula-mula kita rehat tu. Jadi aku berpatah semula ke belakang untuk pergi ke tempat rehat tu. Aku ingat aku dapat kejar korang balik, tapi aku dah tersesat. Makin aku jalan makin aku sesat jauh ke dalam hutan. Aku pun terduduk sebab dah buntu. Sedang aku berfikir arah mana aku patut lalu, aku tiba-tiba didatangi oleh seorang budak kecil. Dia macam tahu aku tengah tersesat jalan. Lepas tu budak tu tunjukkan aku jalan. Dia suruh aku ambil jalan ke kiri dan terus je. Sudahnya aku sampai dekat tempat ni, aku ditangkap sebab menceroboh kemudian dihumban ke dalam lubang gelap ni.” Kata Malik menjelaskan keadaan sebenar.
“Budak kecil?? Tak guna punya Belau!” Tarmizi merujuk kepada makhluk kenit yang membuatkan orang-orang tersesat jalan.
“Malik. Kau tahu ke ini tempat apa? Tempat yang kita berada sekarang ni.” Soal Akim.
“Aku rasa kita sekarang sedang berada di alam kerajaan jin.” Jawab Malik ringkas.
“Dan untuk pengetahuan korang semua, kita memang dah tak ada banyak masa sekarang ni. Baik kita lari dan keluar dari sini sebelum kita semua dijadikan makanan oleh jin-jin dekat atas tu semua!” Malik menyambung.
Keempat-empat mereka kelihatan risau dan gelisah. Masing-masing sedang kelam kabut berfikir bagaimana caranya untuk mereka keluar dari lubang sedalam itu. Tambahan pula yang di atas sana tu bukan calang-calang makhluk. Makhluk yang tidak boleh di bawa berbincang. Selalunya Tarmizi yang banyak idea, tetapi kini satu idea apa pun dia tidak dapat fikirkan. Ijul memerhati sekeliling lubang gelap itu. Tiada apa yang boleh membantu mereka ketika itu. Semuanya bertutup rapat! Jika ada tangga atau apa-apa yang boleh dicapai sudah tentu masalah itu akan jadi lebih mudah. Ketika mereka sedang fikir apa yang seharusnya mereka lakukan, tiba-tiba terdengar bunyi tapak-tapak kaki di atas. Mereka pasti bunyi tapak kaki itu bukan hanya seorang, tapi lebih daripada seorang.
"Cepatt! kita kena fikirkan sesuatu! Mereka dah datang!!
Bunyi tapak-tapak kaki itu terhenti betul-betul di atas mereka. Lalu kedengaran bunyi pintu besi penutup lubang itu di bukak.
"Krekkk... Dummm!!
Mereka berempat sudah kesuntukkan masa, jika diikutkan logik akal, mereka memang tidak sempat untuk berfikir dan melakukan apa-apa pun. Yang tinggal hanyalah berdoa dan berserah. Tarmizi, Malik, Ijul dan Akim sudah ketakutan yang amat sangat. Dari atas kelihatan bayang susuk-susuk tubuh yang besar sedang mengelilingi lubang itu.
Kedengaran satu suara kuat dari atas. Suara yang datang daripada tempat lain itu seperti sedang mengarahkan sesuatu kepada makhluk-makhluk yang berada di pintu lubang itu. Dan selepas sahaja suara itu berhenti bercakap, satu demi satu makhluk itu kelihatan turun ke dalam lubang gelap tersebut.
4 orang sahabat ini saling berpelukan rapat di sudut dinding sambil terketar-ketar ketakutan. Mereka hanya mampu dan berserah kepada takdir dan ketentuan. Jin-jin ganas itu sudah semakin hampir dengan mereka. Adakah keempat-empat mereka akan dibawa naik ke atas?Atau adakah mereka kesemua akan dijadikan habuan dan jamuan di dalam lubang itu juga? Berdasarkan penemuan tulang-tulang dan sisa-sisa tengkorak yang terdapat di dalam itu boleh jadi juga mereka semua akan di makan di dalam lubang tersebut.
Masa sudah suntuk, nyawa Malik, Tarmizi, Ijul dan Akim sudah tidak terjamin lagi sama ada selamat ataupun tidak. Jadi bagaimana nasib mereka ketika itu?
Kita nantikan sambungannya nanti...
#kisahseram #seram #antiplagiarism #PenselStudio
penselstudio©allrightsreserved
No comments:
Post a Comment