adss 2

Monday, 4 April 2016

Sejak hari itu bahagian 2

#kisahseram Sejak Hari Itu.. (bahagian 2)

Aku terus memandu melayari malam yang penuh dengan pelbagai kejadian itu. Kali ini pemanduan aku agak tenang setelah aku memasang cd alunan ayat-ayat Al-Quran di radio. Aku melalui satu kawasan pekan kecil, di waktu-waktu begini memang tiada satu pun kedai yang buka walaupun kedai mamak. Jarum jam sudah melepasi angka 2 pagi. Aku berkerut. Bukan berkerut kerana kedai mamak sudah tutup, tetapi kerana sakit perut yang amat sangat datang menyinggah secara tiba-tiba. Di waktu-waktu begini pula. Aduh. Aku menjerit di dalam hati. Jika ditahan sakit perut ini memang 'parah' akibatnya.

Di waktu-waktu genting itu aku teringatkan kawan lama aku, Lutfi. Jika di kampung dia dipanggil Lutfi Mat Rock kerana amat menggemari lagu-lagu rock kapak. Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah. Aku terus membelokkan kereta aku ke kiri, aku rasa mungkin dia ada di sekolah itu. Niat aku mahu meminjam tandas sekolah untuk melepaskan hajat yang begitu menyeksakan ini. Aku menjenguk pondok pengawal, kelihatan motor kapcainya di situ. Cantik. Bisik aku di dalam hati. Lutfi berjalan keluar dari pondok pengawal dengan memakai baju uniform putih yang tidak di butangkan menampakkan tshirt hitam Rusty Blade di dalam. Dia hairan melihat kereta aku masuk ke kawasan sekolah.

"Weh, kau rupanya. kau buat apa datang sini malam-malam?" Lutfi menyuluh muka aku menggunakan torchlight murahnya yang di beli di kedai RM2.

"Aku sakit perut la Lutfi, aku ingat nak pinjam tandas sekolah ni kejap. Tak tahan sangat dah ni" Aku memegang-megang perut.

"Aku bukan tak nak bagi, tapi kawasan sekolah ni keras sikit. Aku cuma nak ingatkan kau je. Kau nak dengar cerita tak, baru-baru ni.." Aku memandang Lutfi dengan penuh geram. Lutfi terus bercerita hal yang terjadi pada dirinya di suatu malam lebih kurang dalam pukul 12.30. Ketika itu waktu kerjanya sudah hampir habis, jadi dia masuk ke dalam tandas asrama untuk mencuci muka dan menggosok gigi sebelum pulang. Sewaktu sedang menggosok gigi, dia terpandang suatu refleksi yang mencurigakan di dalam cermin. Kelihatannya seperti satu lembaga perempuan berjubah putih. Lutfi musykil kerana dia yakin tandas yang dia masuki itu adalah tandas lelaki. Tanpa menghiraukan kelibat perempuan itu dia terus menghabiskan gosokannya. Namun, ada suatu bunyi yang membuatkan dia menoleh ke belakang. Bunyi suara perempuan memanggilnya dari belakang.

"Haa kau tau, aku menggelupur cabut keluar dari tandas sampai tak sempat nak basuh mulut tau! Sejak hari itu aku tidak akan lagi gosok gigi tengah malam di tandas asrama seorang diri, kerana dia pasti muncul di belakang aku, sambil berkata 'nak ubat gigi lagi?' sambil menyeringai dengan mulut dipenuhi darah!"

Walaupun gaya bercerita si Lutfi Mat Rock ni agak kelakar tapi aku tergamam juga mendengar ceritanya. Tapi aku rasa aku malas nak fikirkan sangat hal itu, sebab aku sudah tidak boleh tahan lagi. Aku perlukan tandas dengan segera sekarang ini! Aku memilih untuk ke tandas berdekatan bukan tandas asrama seperti di katakan Lutfi sebentar tadi. Lutfi menunjukkan arah tandas guru selang satu blok di hadapan kepada aku. Dia sempat berpesan 'jika ada apa-apa jerit sahaja panggil aku'. Tanpa melengahkan masa aku terus ke tandas guru seperti yang ditunjukkan oleh Lutfi. Walaupun keadaan sekolah agak gelap namun tiada apa yang aku boleh pilih lagi selain menggunakan tandas di situ. Suis lampu tandas di petik. Aku memilih tandas yang di hadapan sekali berdekatan dengan pintu keluar.

Aku sempat membakar sebatang rokok. Bagi aku benda ini wajib untuk lebih penghayatan. Aku hembus asap rokok ke atas. Aneh. Asap yang aku hembus turun kembali ke bawah. Berulang kali aku hembus ke atas namun asap itu tetap turun ke bawah. Aku terus jadi takut untuk memandang ke atas. 3 minit sudah berlalu, aku sudah hampir selesai. Setelah membersihkan apa yang patut, aku memegang selak pintu untuk membukanya. Tetapi sebelum keluar, aku seperti mahu tahu apa yang menyebabkan asap rokok aku tadi turun kembali ke bawah. Rasanya di tandas itu tiada kipas. Aku pun memandang ke atas dan..

"Lutfiii!!!" Aku menjerit nama Lutfi sambil berlari keluar menuju ke pondok pengawal. Muka Lutfi kelihatan agak gelisah.

"Woi, kenapa ni kenapa? Kau jumpa apa-apa ke??" Lutfi sudah kelam-kabut

"Tak ada apa, aku jerit nama kau sebab aku gembira dah selesaikan hajat aku tadi!" Tanpa memandang muka Lutfi aku terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin lalu beredar dari sekolah itu. Aku meninggalkan Lutfi dengan penuh tanda tanya. Lutfi tidak tahu apa yang aku nampak sebenarnya di dalam tandas tadi. Sejak hari itu aku tidak akan lagi memandang ke atas ketika sedang menggunakan tandas sekolah itu kerana takut ternampak kepala berambut panjang menyeringai pada aku!

Aku memandu agak laju pada waktu itu. Malam ini sahaja sudah 5 kali berturut-turut aku mengalami peristiwa menakutkan. Untuk meneutralkan keadaan, aku mencapai telefon bimbit. Aku sudah mulai rindukan seseorang. Aku cari nama Zara dan mendail nombornya. Aku tak tahu mengapa aku masih mengharapkan belas ihsan kasih sayangnya lagi. Sudah terang lagi bersuluh perempuan itu telah mempermainkan perasaan aku selama ini. Pengkhianatan demi pengkhianatan telah Zara lakukan. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Adakah aku yang bodoh? Atau dia yang bodoh. Aku terus memutuskan panggilan telefon itu. Aku harus kuat. Jangan dilayan sangat perasaan yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat ini.

Papan tanda Jalan Sg. Hitam telah aku lepasi. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 pagi, namun aku masih belum mahu pulang lagi. Aku mahukan ketenangan dan melepaskan segala masalah yang terbuku di hati ini. Aku terus teringatkan kawan aku sewaktu sama-sama belajar di tingkatan 6. Mirul. Aku senang berkawan dengannya, banyak hal dan masalah akan aku ceritakan pada dia selama ini. Malam itu aku teringin berjumpanya, meluahkan segalanya. Rumah Mirul hanya terletak kira-kira 4 kilometer sahaja lagi dari tempat aku berada sekarang. Dia tinggal di flat lama bersebelahan Balai Polis.

Aku mengunci pintu kereta dan terus menuju ke tangga. Mujur rumahnya hanya terletak di tingkat 2. Ketika itu suasana sungguh sunyi, tidak kelihatan orang-orang lalu di koridor flat. Mungkin semuanya sudah berehat dan tidur. Pintu rumah bernombor 225 itu aku ketuk kuat. Namun tidak berjawab. Aku syak Mirul sudah tidur. Untuk kepastian, aku terus mendail nombor Mirul.

"Oh kau dekat depan rumah aku ke? Lama gila weh tak jumpa kau. Aku dekat luar kejap ni beli barang sikit dekat 7e. Kau masuk lah dulu. Tahu kan kunci pendua yang aku sorok selalu tu dekat mana?" Mirul menyuruh aku masuk ke dalam rumahnya dulu. Aku mengangkat pasu berisi bunga lalu mengambil kunci di bawahnya. Tombol pintu dibuka, suis lampu di pasang. Aku duduk berehat di sofa ruang tamu. Sementara menunggu Mirul pulang, fikiran aku terus menerawang. Berat sangat kepala ini kalau hendak diikutkan. Pada masa yang sama aku terpandang pintu bilik di hadapan aku. Bersebelahan dengan bilik Mirul. Bilik ini di sewa oleh seorang lelaki, Nizam namanya. Aku tidaklah begitu mengenali rapat dengan dia sangat. Begitu juga Mirul, kerana Nizam jarang berada di rumah itu, pulang hanya untuk tidur sahaja.

Aku tidak tahu kenapa hati aku tergerak untuk membuka pintu bilik itu. Aku terkejut kerana bilik ini sentiasa dikunci oleh Nizam. Tetapi tidak berkunci pula malam itu. Aku jenguk ke dalam. Kosong. Ah, mungkin Nizam lupa untuk mengunci pintu biliknya itu. Keadaan di dalam bilik itu sungguh kemas sekali, katilnya yang bercadar biru tua itu seperti sudah lama tidak terusik. Aku memerhati meja dan rak-rak buku yang berada di situ. Aneh. Kosong tidak terisi dengan satu buku dan barang pun. Tetapi yang menganehkan lagi keadaan, terdapat satu tali skipping di atas meja. Tali itu nampaknya sudah berhabuk.

Dulu aku begitu gemar bermain tali skipping, kesannya berat badan aku turun sebanyak 12 kilogram. Sementara menunggu Mirul pulang, aku bermain tali skipping tersebut. Aku bangga, kerana masih mampu lagi bermain sehingga sekurang-kurangnya 20 kali lompatan. Setelah berhenti satu minit, aku cuba bermain sekali lagi. Sedang aku asyik melompat, aku memandang cermin di atas meja dan terlihat sesuatu di dalam cermin itu. Ada satu benda berbungkus putih turut sama mengikut aku melompat di belakang! Memang kelihatan agak jelas. Dengan wajah yang sangat PUCAT! Aku terus mencampakkan tali skipping  dan tanpa menoleh ke belakang aku berlari keluar dari bilik itu. Aku sarung selipar dan terus turun ke bawah. Sampai sahaja di hadapan kereta aku terus menelefon Mirul.

"Mirul! Kau kat mana? Aku nampak 'benda' dalam bilik tu!

"Kau masuk bilik Nizam yang selalu berkunci tu ke?" Mirul menjawab tenang.

"Haah!" Aku menjawab pendek.

"Dah 10 tahun. Nizam dah 10 tahun meninggal akibat bunuh diri di dalam bilik itu. Dia mengantung dirinya dengan menggunakan tali skipping. Aku pun lupa nak beritahu kau hal ni sebab sejak kerja di bandar kau pun dah jarang balik jumpa aku. Sebenarnya dah macam-macam kejadian aneh sejak Nizam meninggal dunia. Ada yang kata Nizam ni ada 'membela' dekat rumah tu. Pernah satu hari tu aku tertidur dekat sofa. Waktu itu aku separa sedar. Tiba-tiba aku perasan ada satu lembaga hitam datang dekat aku lepas tu selimutkan aku! Aku tak berani nak bangun, terus aku buat-buat tidur. Sejak hari itu, aku tidak akan lagi tidur tanpa selimut membaluti tubuh aku, risau kalau makhluk hitam berkuku panjang dan berwajah bengis itu menunjukkan keperihatinannya menyelimutiku pada setiap jam 3 pagi."

Aku tergamam mendengar penjelasan Mirul. Aku terus menghidupkan enjin kereta dan pergi dari situ. Sejak hari itu aku tidak akan lagi bermain tali skipping dalam bilik tidur kerana aku tahu pada tengah malam ada sesuatu yang berbungkus turut melompat juga. Dan sejak hari itu juga aku tidak akan lagi pergi ke bilik berkunci itu apabila penghuninya yang aku sangkakan masih hidup ternyata telah membunuh diri 10 tahun yang lalu.

Jarum jam berdiri tepat menunjukkan pukul 3.45 pagi. Aku rasa cukup setakat ini sahaja waktu aku peruntukkan untuk menenangkan diri. Sebenarnya tidak lah aku dapat menenangkan diri sangat, kerana aku dilanda masalah-masalah lain pula. Daripada bangunan usang tengah malam tadi sehinggalah di flat Mirul ini. Ada sahaja yang terjadi bertimpa-timpa. Aku sudah penat, aku mahu pulang merehatkan diri di rumah. Mak aku sudah tentu bising, dia risau jika aku pulang lewat. Begitu juga dengan nenek aku yang tinggal serumah dengan kami semua. Turut sama akan membebel menasihati aku yang suka pulang lewat. Dia juga jenis cepat risau. Mungkin kerisauan mak diwarisi daripada nenek.

Aku membuka pintu rumah, terperanjat aku apabila melihat nenek sedang duduk dalam gelap di kerusi sofa. Waktu itu memang aku tak dapat melihat jelas wajahnya dan aku malas hendak membuka lampu. Khuatir akan menganggu nenek. Nenek macam biasa, membebel kepada aku. Aku sudah tak larat mahu menjawab segala bebelan nenek. Benda yang sama juga di ulang-ulang. Benda yang sama juga dirisaukan. Aku bukannya perempuan, tambahan pula aku sudah dewasa. Jadi mana mungkin aku tidak tahu menjaga diri sendiri?

Selepas membasuh kaki aku terus menuju ke bilik. Kelibat nenek sudah tidak nampak lagi di situ. Mungkin sudah masuk tidur. Kadang-kadang aku rasa kasihan juga pada nenek. Orang-orang tua ni semua sebenarnya sayangkan kita. Dia tidak mahu apa-apa yang buruk terjadi kepada kita. Kita sahajalah anak dan cucu mereka. Aku terus merebahkan diri di katil, aku benar-benar berasa penat sangat malam itu. Sebelum melelapkan mata, aku berazam pada diri aku sendiri. Sejak hari ini, aku tidak akan lagi balik lepak lewat. Nenek macam mak, suka tunggu semata nak nasihat sebab risau. Bezanya nenek cakap lembut je sambil pegang tangan aku dari bawah katil.

Aku tersentak! Jantung aku berdegup laju. Tangan siapa yang memegang tangan aku dari bawah katil ini? Aku dapat rasakan tangan yang sedang mememang tangan aku itu jari jemarinya halus, berkedut dan sejuk! Memang sebentar tadi aku ada mendengar nenek bercakap kepada aku. Tapi takkan dia bercakap dari bawah katil? Aku memberanikan diri, perlahan-lahan aku menoleh ke bawah. Seorang perempuan tua berambut putih dengan dagu yang panjang memandang aku sambil tersenyum. Kulit mukanya pucat dan hampir terkopak menampakkan isi dalam.

Aku melolong lalu melompat daripada katil dan berlari keluar dari bilik. Perempuan tua yang menakutkan itu merangkak laju mengejar aku. Aku terus membuka pintu rumah dan berlari sehingga ke tengah jalan raya untuk meminta tolong dan menyelamatkan diri. Namun pada waktu itu aku terdengar bunyi hon yang panjang di belakang aku, aku menoleh dan apa yang aku nampak ketika itu adalah silauan daripada cahaya lampu sebuah lori trelar.

Sejak hari itu aku tidak akan lagi berada di alam manusia. Hanya mampu mengintai dari alam yang penuh kegelapan dan kesunyian mutlak. Aku sudah tidak wujud lagi.

#kisahseram #seram #penselstudio #antiplagiat #thanksfans

penselstudio2016©allrightsreserved

No comments:

Post a Comment