adss 2

Saturday, 16 April 2016

Kisah Seram: Tidur Yang Terganggu

#kisahseram Tidur Yang Terganggu

Selepas menghabiskan baki air kopi dan meletakkan cawan di sinki, Nasri menutup suis lampu utama dan berjalan ke bilik tidur. Tubuhnya agak letih hari ini akibat tugasan yang banyak di tempat kerja. Jadi jam 10.30 malam adalah waktu yang sesuai untuk dia berehat dan tidur demi memikirkan esok harus bangun awal lagi. Malam itu sangat sunyi seperti malam-malam kebiasaan. Sebaik tubuhnya rebah di atas katil, mata Nasri terus mengecil dan beransur-ansur lelap.

"Damm!!"

Nasri terkejut. Dia terus terjaga daripada tidur. Telinganya mengamati bunyi yang buat dia terjaga sebentar tadi. Nasri seakan dapat tahu itu mesti kerja kucingnya yang telah menjatuhkan tin biskut di atas lantai. Malas hendak berfikir lanjut, Nasri terus menyambung tidurnya. Dalam keadaan separa sedar, Nasri tiba-tiba dibuai perasaan sunyi dan emosional. Jika tiada Obi makin sunyilah hidupnya. Kucing yang bernama Obi itulah yang selalu menemaninya. Walaupun agak nakal, tetapi Obi lah yang selalu akan menunggunya di muka pintu sebaik pulang dari kerja. Nasri terus mengelamun dan terus mengelamun sehinggalah terlelap semula.

"Meow.. ."

Nasri terjaga lagi. Kali ini dia terjaga kerana diganggu kucingnya. Obi menggesel-gesel perlahan dan menaiki badan Nasri. Nasri berasa rimas lalu diletakkannya Si Obi di bawah. Pelik pula, kerana Obi jarang datang ke biliknya pada waktu malam. Dia lebih suka tidur di ruang tamu, ataupun mengacah-acah cicak di dapur. Obi terus mengiau. Nasri pula mengeluh. Kenapalah malam-malam begini barulah Obi hendak merengek mengiau bagai. Baru sahaja dia letakkan Friskies di dalam mangkuk di dapur sebelum tidur tadi. Tak kan sudah lapar lagi? Nasri sedikit bengang. Malas hendak melayan karenah Obi, Nasri terus menyambung tidurnya yang terganggu.

"Damm! Damm!!"

Nasri menjegilkan mata. Tidurnya terganggu lagi dengan bunyi bising di dapur. Kali ini seperti bunyi kerusi dapur dijatuhkan. Mulutnya sudah menyumpah-nyumpah nama Obi. Apa sajalah yang Obi buat di dapur sampai bising begitu sekali. Nasri bingkas bangun untuk menuju ke dapur, dia sudah berkira-kira mahu meletakkan Obi di luar rumah sebagai tanda hukuman. Namun Nasri terkejut apabila mendapati Obi sedang lena tidur di atas karpet biliknya. Nasri menggaru kepala. Dia bagai sudah dapat agak ini seperti adegan klise yang biasa berlaku di dalam filem seram.

"Bammm..!! Pranggg!!"

Nasri tersentak. Obi kelihatan turut terkejut mendengar bunyi kuat dari dapur. Kali ini bunyi agak kuat berbanding yang sebelum-sebelum tadi. Nasri tahu ini bukan bunyi biasa-biasa. Nasri mencapai sebatang kayu yang biasa dia letakkan di tepi almari sebagai langkah keselamatan. Perlahan-lahan pintu bilik di buka, sambil itu Nasri menjenguk sebentar untuk memastikan tiada apa yang 'menghalang' laluannya ke dapur. Bunyi bising tadi pula sudah tidak kedengaran, Nasri jadi musykil. Keadaan dapurnya tersusun kemas seperti biasa, tiada satu pun kerusi atau meja yang terjatuh. Tin-tin biskut juga terletak di tempat biasa. Nasri fikir mungkin bunyi yang dia dengar tadi hanyalah khalayan akibat badan dan otaknya yang terlalu letih.

Namun begitu. Ada sesuatu yang membuatkan Nasri mengigil terketar-ketar malam itu. Sewaktu dia mahu balik semula ke bilik, isteri Nasri telah berlari dari dapur dan meluru ke arahnya. Sambil tercungap-cungap isteri Nasri berkata;

"Abang, tolong abang! ada perompak pecah masuk ikut pintu dapur tadi. Dia bawak parang!!"

Nasri tergamam tidak terkata apa apabila melihat susuk tubuh isterinya yang berwajah pucat itu di hadapan. Semua orang termasuk Nasri sendiri tahu bahawa isterinya telah lama mati dibunuh oleh perompak 3 tahun lepas.

#kisahseram #seram #penselstudio

penselstudio2016©alllrightsreserved

No comments:

Post a Comment